Keadaan di lokasi kejadian dua maut terkena renjatan elektrik semalam. FOTO Ihsan PDRM
Hazira Ahmad Zaidi
am@hmetro.com.my


“BEBERAPA penduduk kampung yang berada di kedai makan memberitahu mengenai dua individu maut terkena renjatan elektrik sebelum saya bergegas ke lokasi,” kata penduduk Kampung Stong, Kuala Krai, Nordin Zahari, 53.

Dalam kejadian 6 petang semalam, dua lelaki berusia 27 dan 50 tahun maut terkena renjatan elektrik di Kompleks Perkayuan Kelantan (KPK) Stong, dekat Kuala Krai.

Nordin berkata, dia kemudian bergegas ke lokasi tidak jauh dari tempatnya makan.

“Sebaik tiba di pondok pengawal KPK, pengawal keselamatan memberitahu saya, anak dan isteri kepada salah seorang daripada mangsa yang meninggal dunia berada di lokasi.

“Saya ke lokasi mayat kedua-dua mangsa kerana bimbang ada individu berdekatan cuba menyentuh mereka yang terkena renjatan elektrik itu.

“Kemudian saya menghubungi polis dan Klinik Kesihatan Dabong untuk memaklumkan kejadian,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Deputi Superintendan Wan Fauzi Wan Ishak berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian 6.15 petang semalam.

“Dua lelaki berusia 27 dan 50 tahun yang bekerja di KPK Stong ditemui meninggal dunia selepas terkena kejutan elektrik.

“Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi dan dibawa ke Hospital Kuala Krai untuk dibedah siasat dan sudah dituntut keluarga masing-masing,” katanya.

Menurutnya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 September 2019 @ 7:49 PM