PENDATANG asing yang ditahan ketika Ops Bersepadu Jabatan Imigresen Malaysia di pusat perniagaan Nilai 3. FOTO Hasriyasyah Sabudin
Hasbi Sidek
mohd.hasbi@hmetro.com.my


MEREKA ibarat cacing kepanasan yang tidak senang duduk sebaik melihat kenderaan pasukan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) memasuki kawasan pusat perniagaan Nilai 3, hari ini.

Gelagat warga asing itu dapat dilihat ketika Ops Bersepadu bermula 11 pagi tadi yang mana terdapat segelintir warga asing dikesan mula meninggalkan premis dan perlahan-lahan menghilangkan diri, malah ada juga yang mengeluarkan telefon bimbit masing-masing sambil menaip mesej dan menghubungi rakan mereka yang ‘kosong.’

Kawasan pusat komersial yang besar dan terbuka itu sedikit sebanyak menyukarkan pasukan serbuan, namun terdapat beberapa warga asing yang cuba melarikan berjaya ditahan termasuk yang cuba meloloskan diri menggunakan kereta dan hasilnya 68 warga asing dicekup.

Malah dalam operasi itu juga, baju seorang lelaki warga Pakistan berusia 21 tahun koyak selain mengalami luka kecil pada belakang leher kerana cuba melarikan diri, namun sudah dikepung anggota JIM manakala dua lagi warga Pakistan ditahan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di dalam kenderaan masing-masing kerana cuba melarikan diri.

Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, operasi ke-59 untuk tahun 2019 di Nilai itu turut disertai Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), JPJ dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

“Dalam operasi ini kami memeriksa 39 premis dan 298 warga asing sebelum mendapati 68 daripada mereka didapati mempunyai dokumen yang meragukan sebelum ditahan untuk siasatan lanjut.

“Mengikut pecahan 51 adalah warga Pakistan, sembilan warga Myanmar, tujuh warga Bangladesh dan seorang warga Kemboja. Manakala SSM pula mengeluarkan 14 notis kepada premis perniagaan atas pelbagai kesalahan,” katanya ketika sidang media, sejurus operasi tamat, hari ini.

Beliau berkata, tidak seperti operasi sebelum ini yang mana kebanyakan warga asing ditahan kerana kesalahan menyalahgunakan pas dan tinggal lebih masa, namun kesalahan pada operasi kali ini mendapati dokumen yang dikemukakan diragui kesahihannya menyebabkan pihaknya terpaksa membawa mereka ke pejabat untuk memeriksa semula dokumen masing-masing.

Akui beliau, kawasan perniagaan di Nilai 3 yang besar menyukarkan pihaknya untuk melakukan serbuan kerana terdapat segelintir daripada warga asing berjaya melarikan diri, namun pemeriksaan secara berkala akan dilakukan lebih kerap di kawasan komersial itu.

“Persepsi masyarakat apabila terdapat kebanjiran warga asing menyangka semua adalah pendatang tanpa izin, sedangkan ramai antara mereka yang mempunyai dokumen sah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 September 2019 @ 7:32 PM