Keadaan tapak niaga di Padang Serai yang dilanda ribut tengah hari tadi. FOTO Ihsan JBPM
Nor Farhani Che Ad
am@hmetro.com.my


EMPAT peniaga cedera dihempap ranting pokok dalam kejadian ribut di tapak niaga Padang Serai, Kulim hari ini.

Kejadian berlaku 1 tengah hari dan empat gerai, masing-masing sebuah van dan kereta milik peniaga rosak dihempap pokok.

Peniaga, Rozaini Ahmad, 43, berkata, sebelum kejadian awan gelap disusuli tiupan angin sederhana di tapak niaga itu.

“Kebanyakan peniaga sudah mula menutup gerai masing-masing namun tidak sampai setengah jam hujan lebat bersama angin kuat menyebabkan beberapa pokok tumbang.

“Terdapat gerai dan kenderaan peniaga dihempap pokok tumbang termasuk beberapa peniaga turut cedera,” katanya.

Rozaini bersyukur gerai air kelapanya terselamat kerana dia sempat menurunkan khemah gerainya dan menahan khemah itu daripada diterbangkan angin bersama isteri, Khadijah Yaacob, 45.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulim Hi-Tech, Penolong Kanan Penguasa Bomba (PKPgB) Mohd Yusri Yusof berkata, pihaknya menerima panggilan 2.44 petang sebelum sepasukan bomba dari balai itu tiba di lokasi.

“Bomba mendapati empat gerai, sebuah van dan sebuah kereta dihempap pokok.

“Mangsa yang cedera sudah dibawa ke Hospital Kulim untuk menerima rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, bomba bertindak memotong pokok yang merentangi jalan dengan menggunakan ‘chain saw’ serta membuka kembali laluan yang tertutup akibat pokok tumbang.

“Operasi memotong pokok dan membuka laluan tertutup tamat pada 4.30 petang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 September 2019 @ 7:10 PM