Mayat yang belum dikenal pasti identiti dibawa ke hospital untuk dibedah siasat. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Siti Rohana Idris
am@hmetro.com.my


MAYAT lelaki ditemui terapung di pinggir Sungai Golok, dekat Kampung Tualang, Simpangan, Tumpat hari ini.

Mayat itu ditemui penduduk kampung pada 11.30 pagi dalam keadaan meniarap dan berpakaian lengkap dengan seluar jeans dan baju biru.

Timbalan Ketua Polis Daerah Tumpat, Deputi Superintendan Mohd Razi Rosli berkata, penemuan mayat itu dimaklumkan segera kepada Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga, Pengkalan Kubor.

“Mayat ditemui dalam keadaan meniarap dengan fizikalnya sudah membengkak.

“Tiada dokumen pengenalan diri ditemui pada badan mangsa menyebabkan identitinya belum dapat dikenal pasti,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Razi berkata, pihaknya juga tidak dapat mengenal pasti sama ada mangsa adalah orang tempatan atau warga Thailand memandangkan lokasi penemuannya di pinggir Sungai Golok.

Menurutnya, siasatan juga akan dibuat bagi mengenal pasti sudah berapa lama mangsa meninggal dunia.

“Mayat dibawa ke Hospital Tumpat untuk proses bedah siasat. “Saya meminta kepada sesiapa yang ada kehilangan ahli keluarga, boleh merujuk ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 September 2019 @ 6:55 PM