FOTO Hiasan FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu menyelamatkan tapir seberat kira-kira 80 kilogram yang terjatuh ke dalam longkang di Kampung Kubang Lembek, Manir, Kuala Terengganu malam tadi.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Pegawai Bomba Kanan II Junaidi Mohamad berkata, enam anggota bersama sebuah jentera dikejarkan ke lokasi selepas menerima panggilan pada 11.49 malam.

Beliau berkata, bomba mengambil masa 90 minit untuk menyelamat dan membawa naik tapir itu selepas terjatuh ke dalam longkang sedalam dua meter.

“Melalui bantuan orang kampung, anggota bomba menggunakan hos untuk mengangkat tapir yang terperangkap dalam longkang itu.

“Ketika operasi menyelamat dijalankan bomba menghadapi kesukaran memasukkan hos ke bahagian bawah perut haiwan itu kerana pergerakan haiwan itu ketika berada dalam air,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Junaidi berkata, selepas diselamatkan, tapir dipercayai sesat dari hutan berhampiran kampung berkenaan meluru masuk ke dalam hutan semula.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 September 2019 @ 6:46 PM