PEMANDANGAN di Kuala Lumpur kelihatan terjejas akibat jerebu. FOTO Intan Nur Elliana Zakaria
Mohamad Hussin
mohamad_hussin@hmetro.com.my


SETAKAT 2 petang ini, bacaan indeks pencemaran udara (IPU) di kawasan Tangkak, Johor dan Melaka mencatatkan bacaan sangat tidak sihat iaitu 258 dan 222 berbanding 241 dan 207, 8 pagi tadi.

Data keseluruhan menunjukkan kualiti udara di 27 kawasan seluruh negara tidak sihat, manakala sembilan kawasan pula berada pada tahap sederhana.

Berdasarkan maklumat dipaparkan Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), bacaan IPU tidak sihat tertinggi direkodkan di Bukit Rambai (198) dan Alor Gajah, Melaka (165), Port Dickson, Negeri Sembilan (191) dan di Samarahan, Sarawak (187).

Lima kawasan di Johor mencatatkan IPU tidak sihat iaitu Batu Pahat (181), Segamat (171), Larkin (154), Kluang (150) manakala Pasir Gudang (101).

Manakala, bacaan IPU di Sarawak turut tidak sihat iaitu Samarahan (187), Sarikei (174), Sri Aman (172), Sibu (159), Bintulu (145), Mukah (126),

ILP Miri (129), Samalaju (116) dan Miri (110).

Sementara itu, kualiti udara di dua kawasan di Negeri Sembilan merekodkan IPU tidak sihat iaitu Seremban (124) dan Nilai (122), manakala Indera Mahkota Kuantan dan Rompin, Pahang masing-masing 131 dan 125.

Mengikut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, berasaskan laporan Meteorologi Malaysia (MET) dan National Disaster Command Center (NDCC), kebakaran hutan di Sumatera dan Kalimantan, Indonesia menyebabkan jerebu merentas sempadan dan memberi kesan kepada peningkatan bacaan IPU di semua kawasan di sepanjang pantai barat Semenanjung Malaysia dan barat Sarawak.

Bacaan IPU 0-50 menunjukkan kualiti udara sihat; 51-100 (sederhana), 101-200 (tidak sihat), 201-300 (sangat tidak sihat) dan melebihi 300 pula tahap berbahaya.

Orang ramai boleh merujuk laman web Jabatan Alam Sekitar (JAS) di alamat http://apims.doe.gov.my/v2/ atau dengan memuat turun aplikasi telefon pintar, MyIPU di ‘Google Play’ bagi mendapatkan bacaan IPU terkini pada setiap jam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 September 2019 @ 3:41 PM