Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my


PUNCA kematian pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Seremban 3 yang mayatnya ditemui di rumah sewa di Suriaman 3, Bandar Sri Sendayan, 13 September lalu, tidak dapat diketahui.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim berkata, bedah siasat ke atas mayat sudah dilakukan di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) semalam.

“Keputusan diperoleh mendapati punca kematian mangsa tidak dapat ditentukan kerana badan reput,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Said berkata, kes diklasifikasi sebagai mati mengejut dan mayat sudah dituntut ahli keluarga untuk pengebumian di Melaka.

Portal berita Harian Metro semalam melaporkan, pensyarah UiTM Cawangan Seremban 3 ditemui meninggal dunia di rumah sewa di Suriaman 3, Bandar Sri Sendayan.

Mayat pensyarah sains politik, Badrul Azmier Mohamed@Bakar, 43, itu ditemui jam 6.30 petang selepas jirannya menghidu bau busuk dari rumah lelaki berkenaan.

Berdasarkan siasatan polis, mangsa dipercayai sudah meninggal dunia antara dua hingga tiga hari sebelum ditemui berdasarkan keadaan mayatnya yang mula mereput.

Berita berkaitan

Pensyarah UiTM meninggal dunia

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 September 2019 @ 3:28 PM