SEKOLAH di Klang yang ditutup akibat jerebu, 12 September lalu. Sesi persekolahan akan ditangguh apabila kawasan terbabit mencatat bacaan IPU melebihi 200. FOTO Faiz Anuar
Idris Musa
idris@hmetro.com.my


KEMENTERIAN Pendidikan menyerahkan kepada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) untuk mengambil langkah sewajarnya termasuk penutupan sekolah dalam menghadapi fenomena jerebu.

Menterinya, Maszlee Malik berkata, pihaknya bergantung kepada bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) dan menyerahkan kepada JPN untuk mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

“Kalau ada mana-mana negeri yang bacaan IPU tinggi dan melepasi tahap bahaya, maka JPN akan mengambil keputusan untuk menutupnya. “Jadi kita berikan kuasa kepada JPN untuk memantau dengan lebih dekat,” katanya yang turut menjelaskan penutupan sekolah apabila kawasan terbabit mencatat bacaan IPU melebihi 200.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan dan perasmian My Digital Maker Fair 2019 di Pusat Perdagangan dan Pameran Antrabangsa (MITEC) di Kuala Lumpur, hari ini.

Sementara itu, Maszlee berkata, program Digital Maker Hub (DMH) akan dikembangkan lagi ke 100 buah sekolah malah lebih banyak sekolah pada masa depan.

“Kita berharap pada penghujungnya setiap sekolah akan mempunyai DMH kerana pelajar dilatih teknologi digital untuk menjadi pembuat dan ‘innovator,’” katanya.

Beliau turut menyambut baik platform dibangunkan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Genesis Data bagi membantu pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Menurutnya, menerusi platform itu, pelajar dibantu dengan menggunakan teknologi, untuk memastikan mereka disalurkan kepada pengkhususan bertepatan dengan bakat.

“Mereka sedang menggunakan segala perkongsian maklumat dengan pihak kementerian untuk memastikan setiap pelajar ini dikumpulkan dengan segala aktiviti, keputusan, kokurikulum dan kecenderungan.

“Di penghujungnya, mereka (pelajar) akan memilih bidang sesuai dengan mereka dan akan ditunjukkan peluang biasiswa dan pinjaman untuk meneruskan pengajian,” katanya.

Beliau berharap, langkah itu akan membantu mengelakkan pilihan tidak kena pada bidang yang menyebabkan banyak pihak tidak mendapat kerja.

“Kita berharap usaha ini akan membantu Malaysia meningkatkan lagi kebolehpasaran graduan di masa hadapan,” katanya.

Mengulas Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), Maszlee berkata, banyak penekanan diberikan terhadap TVET termasuk dalam Bajet 2020.

“Kita akan pastikan perjalanan masa hadapan TVET kita adalah mencontohi sisem di Jerman. Pihak Jerman pun telah memberi banyak kerjasama dengan kita.

“Saya boleh memberikan jaminan bahawa masa depan TVET di Malaysia agak cerah. Kita ingin menyeru lebih ramai lagi pelajar terlibat dengan TVET,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 September 2019 @ 3:10 PM