KHALID (kanan) bersama Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac), Datuk Isham Ishak (kiri) bermain congkak pada Festival permainan Malaysia @ Kuala Lumpur Warnai Sambutan Hari Malaysia 2019. FOTO Mohd Yusni Ariffin
Yusmizal Dolah Aling
yusmizal@hmetro.com.my


KEMENTERIAN Wilayah Persekutuan akan memberikan bantuan sewajarnya kepada gelandangan bagi menangani apa juga isu berkaitan golongan itu termasuk penginapan serta peluang pekerjaan.

Menterinya Khalid Abdul Samad berkata, pihaknya mengambil kira pelbagai masalah yang berlaku kepada mereka dan ia memerlukan penyelesaian mengikut kesesuaian.

Katanya, menerusi cara itu pihaknya berharap isu gelandangan mendiami kawasan jalanan dan tidak terurus dapat diselesaikan pada masa depan.

“Kita cuba wujudkan suasana dan tempat dengan adanya rumah transit, berikan khidmat, mana yang boleh kita berikan kerja, kita bantu. Mereka ini ada bermacam-macam masalah, jadi kita tak boleh anggap ada satu penyelesaian

yang sesuai untuk semua,” katanya kepada media selepas melancarkan Festival Permainan Malaysia (FPM) anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) di Dataran Merdeka, hari ini.

Beliau mengulas laporan Harian Metro, 8 September lalu mengenai pendedahan pasukan perubatan Briged Negaraku bahawa kawasan sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman berpotensi menjadi lokasi wabak ekoran persekitaran kotor serta tidak terurus.

Ia susulan pemeriksaan kesihatan mingguan di lokasi terbabit mendapati kanak-kanak antara yang terdedah dengan risiko pelbagai penyakit kerana tidak mengambil vaksin dan tinggal di tempat kotor.

Sementara itu, mengulas mengenai FPM, Khalid berkata, program berkenaan bertujuan memelihara permainan tradisional Malaysia supaya tidak luput selain menjaga nilai seni warisan negara untuk generasi muda menerusi lebih 20 jenis permainan tradisional dan moden

pelbagai kaum.

“Kita akan usahakan ia diadakan di Dataran Merdeka setiap tahun kerana ia juga boleh mempromosi permainan tradisi ini kepada pelancong asing. Kita nak Dataran Merdeka ini dihidupkan dengan pelbagai program dan kita nak kalau boleh tiap-tiap minggu adanya penganjuran program seperti ini,” katanya.

FPM Kuala Lumpur ini disertai 10 badan beruniform dan sektor korporat dengan penyertaan 1,389 orang daripada pelbagai agensi serta sukarelawan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 September 2019 @ 12:12 PM