ANGGOTA bomba mengangkat mangsa lemas di tebing Tandop Cegar, Jalan Osman Aroff.
Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my


JITRA: Lelaki yang dilaporkan terjun ke anak sungai berhampiran Tandop Cegar, Jalan Osman Aroff, Khamis lalu ditemui lemas, semalam.

Mayat K Sasitaran, 22, ditemui anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra di lokasi kejadian jam 7.10 pagi semalam.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, mayat mangsa ditemui terapung di tepi terusan berkenaan kira-kira 500 meter dari lokasi dia terjatuh.

Mohamadul Ehsan berkata, mayat kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Terdahulu, mangsa dipercayai terjun ke dalam sungai berkenaan sebelum tenggelam secara tiba-tiba jam 4.20 petang pada Khamis lalu.

Kejadian itu disaksikan rakan mangsa yang kemudian menghubungi pasukan penyelamat untuk membantu mencari mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 September 2019 @ 5:40 AM