KEADAAN Bandaraya Kuching masih dilanda jerebu. FOTO MOHD RADZI BUJANG
Ekhwan Haque Fazlul Haque
ekhwan@hmetro.com.my


KUALITI udara di Tangkak, Johor dan Kuching serta Samarahan di Sarawak terus mencatatkan indeks pencemaraan udara (IPU) sangat tidak sihat.

Berdasarkan Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) sehingga jam 6 petang ini, IPU di Tangkak mencatatkan bacaan 205 manakala Kuching dan Samarahan masing-masing 221 dan 202.

Bacaan IPU di tiga lokasi berkenaan masih kekal sangat tidak sihat bermula jam 8 pagi hari ini manakala bacaan di Johan Setia menunjukkan penurunan daripada 204 kepada 122.

Sebanyak 31 kawasan lain di seluruh negara mencatatkan bacaan IPU tidak sihat, namun menunjukkan trend penurunan berikutan hujan khususnya di Selangor dan Kuala Lumpur.

Hanya dua kawasan di utara Semenanjung masing-masing di Kangar dan Langkawi menunjukkan IPU baik dengan bacaan antara 58 dan 53 kepada 46 dan 27.

Selain itu, 32 kawasan seluruh negara mencatatkan IPU sederhana dengan bacaan 52 hingga 98.

Bacaan IPU 0-50 menunjukkan kualiti udara sihat; 51-100 (sederhana), 101-200 (tidak sihat), 201-300 (sangat tidak sihat) dan melebihi 300 pula tahap berbahaya.

Untuk maklumat lanjut IPU setiap jam, orang ramai boleh melayari laman web Jabatan Alam Sekitar (JAS) http://apims.doe.gov.my/v2/ atau memuat turun aplikasi telefon pintar, MyIPU di ‘Google Play’.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 September 2019 @ 6:55 PM