PATI yang ditahan dalam Op Sapu di Hentian Bas Kuala Terengganu.
Zaid Salim
am@hmetro.com.my


SUASANA Kompleks Hentian Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) yang biasanya dimonopoli warga asing setiap hujung minggu lengang apabila lebih 200 warga asing diangkut Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menerusi Op Sapu di kawasan berkenaan, semalam.

Dalam operasi bermula jam 7 pagi, seramai 58 pendatang asing tanpa izin (Pati) yang berkeliaran di sekitar stesen bas terbabit ditangkap selepas didapati melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen.

Difahamkan, operasi di hentian bas berkenaan dilakukan susulan rungutan orang ramai yang tidak selesa dengan kebanjiran warga asing pelbagai negara setiap hujung minggu di kawasan berkenaan.

Kehadiran penguat kuasa menyebabkan ada warga asing yang nekad melarikan diri bagi mengelak dicekup nyaris dirempuh kenderaan ketika melarikan diri.

Bagaimanapun, mereka berjaya diberkas hasil kecekapan dan ketangkasan anggota yang ditempatkan di setiap sudut di sekitar stesen bas terbabit.

Pengarah Jabatan Imigresen (JIM) Terengganu, Rahim Hanafi berkata, operasi yang diketuai Ketua Bahagian Penguat kuasa JIM Terengganu, Ahmad Salihin Salleh memeriksa 230 warga asing di kawasan terbabit.


PENDATANG menaiki lori untuk dibawa ke Unit Penguat Kuasa JIM Terengganu.

“Hasil pemeriksaan kita menahan 58 Pati membabitkan warga Myanmar, Bangladesh, Indonesia, Thailand, Nepal dan India kerana melakukan kesalahan tidak memiliki dokumen pengenalan, tinggal lebih masa dan melanggar syarat pas.

“Selain hentian bas, kita juga menjalankan pemeriksaan di kawasan Pasar Borong Gong Pauh dan menahan tiga Pati membabitkan dua lelaki Myanmar dan seorang wanita Thailand berusia 13 tahun yang tiada dokumen perjalanan,” katanya.

Menurutnya, semua Pati berusia antara 13 hingga 50 tahun yang ditahan dibawa ke Unit Penguat Kuasa JIM Terengganu untuk siasatan lanjut sebelum dihantar ke Depot Tahanan Imigresen Ajil, Kuala Berang.

“Siasatan lanjut berhubung kes berkenaan akan dilakukan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 15(1)(c) akta sama dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 September 2019 @ 6:30 AM