Tiga lelaki yang ditahan kastam Singapuran di sebuah gudang di Gambas Crescent. (Gambar kanan) rokok tidak bayar cukai yang disembunyikan dalam gelung kabel. Foto Ihsan FB Kastam Singapura
Ibrahim Isa
ibrahim@hmetro.com.my


TIGA lelaki warga Malaysia ditahan pihak kastam Singapura bersama 3,409 karton rokok tidak bayar cukai di sebuah gudang di Gambas Crescent dalam serbuan pada 6 September lalu.

Kastam Singapura dalam satu kenyataan hari ini berkata, sepasukan pegawainya dan anggotanya melakukan intipan selepas mengesyaki aktiviti berkaitan rokok tidak sah di gudang terbabit.

Menurutnya, pada mulanya pihaknya mengesan dua lelaki sedang memindahkan 10 gelung kabel dari tempat memunggah ke dalam bangunan berkenaan.

Katanya, tidak lama kemudian kelihatan seorang lelaki memasuki bangunan itu.

“Pegawai kami terus bertindak memasuki bangunan dan melihat lelaki itu mengambil rokok yang tersembunyi dalam gelung kabel terbabit.

“Ketiga-tiga lelaki warga Malaysia berusia antara 23 dan 51 tahun itu ditahan untuk siasatan lanjut.

“Hasil siasatan awal mendapati kesemua rokok itu akan diedarkan untuk pasaran di seluruh Singapura,” katanya.

Menurutnya, rokok yang dirampas itu nilai duti serta cukai barangan dan perkhidmatan (GST) masing-masing SGD$291,120 (RM873,360) dan SGD$21,460 (RM64,380),” katanya.

Katanya, kesemua tiga lelaki Malaysia itu dibawa ke mahkamah pada keesokan harinya dan direman selama seminggu bagi membantu siasatan.

Kenyataan kastam itu turut menjelaskan bahawa membeli, menjual, menyembunyikan, menghantar, menyimpan dan mempunyai barangan yang tidak bayar cukai adalah satu kesalahan mengikut Akta Kastam dan Akta GST.

“Sabit kesalahan, seseorang itu boleh didenda 40 kali ganda nilai duti dan GST yang cukai dielak atau dipenjara sehingga enam tahun,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 September 2019 @ 5:56 PM