Aidi Sham (tengah) menunjukkan barangan yang dirampas daripada suspek kes samun wanita Vietnam. FOTO Mohd Khidir Zakaria
Mohd Khidir Zakaria
am@hmetro.com.my

BERJOLI sakan wang hasil samun dengan membeli telefon bimbit baru berharga RM2,000 selain membayar ansuran kenderaan.

Itu dilakukan lelaki berusia 33 tahun selepas menyamun wanita Vietnam menyebabkan mangsa kerugian hampir RM20,000 di Lukut, Port Dickson 2 September lalu.

Lebih keji, lelaki itu tanpa rasa bersalah turut memberi nafkah kepada isterinya menggunakan wang berkenaan namun tembelangnya pecah selepas dia ditahan di rumahnya di Taman Wawasan, Lukut Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, sebelum kejadian mangsa mahu menghantar wang itu kepada keluarga di Vietnam bagi menampung kos membaiki rumah.

Aidi Sham berkata, dalam kejadian 5.30 pagi itu, mangsa yang berusia 30-an mengalami kecederaan pada tangan akibat terkena pisau yang diacukan suspek selain luka siku dan lutut kerana terjatuh ketika mengejar lelaki berkenaan.

“Selepas meletakkan motosikalnya di hadapan kedai roti di tempatnya bekerja, lelaki yang menaiki Proton Iriz coklat mendekati mangsa sebelum mencekak lehernya.

“Suspek yang bersenjatakan pisau merampas beg yang dipegang mangsa sebelum melarikan diri dengan kereta.

“Mangsa luka pada tangan akibat terkena pisau selain cedera siku dan lutut selepas terjatuh ketika cuba mengejar kereta suspek,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Port Dickson hari ini.

Aidi Sham berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Port Dickson berjaya mengesan dan menyerbu rumah suspek di Taman Wawasan.

“Polis merampas wang tunai RM1,200 dan mata wang Vietnam Dong bernilai RM10.

“Kami turut merampas kereta dan telefon bimbit serta pakaian yang digunakan suspek ketika kejadian berpandukan kamera litar tertutup (CCTV).

“Suspek ditahan reman enam hari dari 11 hingga 16 September ini.

“Suspek juga mempunyai satu rekod jenayah mengikut 15(1)(a) Akta Dadah Merbahaya 1952 dan positif Methamphetamine,” katanya.

Aidi Sham berkata, suspek yang tidak bekerja mengaku sudah menggunakan sebahagian wang yang disamun untuk membeli telefon bimbit jenis Vivo, memberi isterinya RM2,000 dan membayar ansuran kereta lebih RM500, ” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 392 dan 397 Kanun Keseksaan kerana samun serta mencederakan mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 September 2019 @ 4:25 PM