ANGGOTA menunjukkan susu steril yang dirampas. FOTO Ihsan MAQIS.
Siti A’isyah Sukaimi
sitiaisyah@hmetro.com.my


JABATAN Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) menggagalkan cubaan membawa masuk susu dalam operasi di Pintu Masuk Pelabuhan Klang Selatan pada 10 September lalu.

Menerusi kenyataan dikeluarkan hari ini, MAQIS mengesan pengimport cuba membawa masuk produk jenis hasilan haiwan itu tanpa permit import sah dikeluarkan pihaknya dan sijil kesihatan negara asal.

“Ia dibawa masuk menggunakan kapal tongkang melalui jalan laut dari negara jiran.

“Jumlah rampasan adalah sebanyak 800 tin susu steril yang dianggarkan bernilai RM4,000 dan produk itu untuk tindakan lanjut,” katanya.

Kenyataan itu menyebut, tindakan itu satu kesalahan mengikut Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3), akta yang sama.

Jika disabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau keduanya.

Sementara itu, Pengarah MAQIS Negeri Selangor, Dr Tarmisal Alimin berkata, pihaknya sentiasa meningkatkan pemeriksaan dan penguatkuasaan import di pintu masuk negara bagi memastikan tiada kemasukan konsainan tanpa dokumen sah.

Ia bagi menjaga keselamatan keluaran pertanian yang masuk ke negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 September 2019 @ 10:17 AM