Laporan portal Harian Metro mengenai Nur Aafiyah sebelum ini.
Redzuan Muharam
redzuan.muharam@hmetro.com.my


NUR Aafiyah Maizarah Asri yang baru berusia sebulan dan dilahirkan dengan ‘hemangioma’ iaitu tanda lahir dalam bentuk ketumbuhan pada bahagian pipi kiri kini berada dalam keadaan kritikal dan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Kanak-Kanak (PICU) Hospital Wanita dan Kanak-Kanak di Likas, Kota Kinabalu sejak semalam.

Ibunya, Nesmenny Jimahin, 32, berkata, keadaan itu berlaku selepas anak bongsunya itu mengalami pendarahan pada 6.20 pagi semalam.

Lebih mencemaskannya apabila jantung Nur Aafiyah berhenti berdegup sebelum diselamatkan dengan bantuan pernafasan kecemasan (CPR).

“Pendarahan itu berlaku ketika saya bersama dengan Nur Aafiyah di wad dan doktor ada memberitahu kemungkinan anak saya tiada harapan untuk hidup kerana keadaannya yang kritikal.

“Namun, saya yakin Nur Aafiyah kuat dan dengan izin Allah SWT, dia dapat diselamatkan selepas menerima bantuan CPR.

“Cuma ketika ini, Nur Aafiyah ditempatkan di PICU untuk pemantauan rapi dan sebagai ibu hanya mampu berdoa dan mengharapkan keajaiban berlaku,” katanya ketika dihubungi Harian Metro hari ini.

Menurut Nesmenny, Nur Aafiyah masih belum sedar dan dia juga hanya dapat melawat anaknya itu mengikut masa lawatan yang ditetapkan saja.

Walaupun sedih, Nesmenny enggan berputus asa kerana yakin masih ada peluang untuk Nur Aafiyah sihat selagi anaknya itu masih bernyawa.

“Doktor tidak memberi jaminan atau harapan kepada saya, sebaliknya memberitahu bahawa segalanya kini bergantung kepada Nur Aafiyah sendiri.

“Jadi, apa yang boleh saya lakukan kini adalah berdoa dan berserah kepada Allah SWT dengan harapan anak saya terus diberi peluang untuk hidup,” katanya.

Pada 5 September lalu, portal Harian Metro melaporkan kisah Nur Aafiyah yang menderita akibat ketumbuhan yang semakin membesar pada pipi kiri dan kemungkinan dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk menjalani pembedahan.

Ketumbuhan itu menyebabkan pendarahan kerap berlaku hingga sering dibawa ke hospital untuk menambah darah selain menjalani pemeriksaan susulan.

Mulut Nur Aafiyah juga senget kesan daripada ketumbuhan itu tetapi tidak memberi masalah untuknya minum susu seperti biasa.

Berita berkaitan

'Semoga dipermudahkan anakku'

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 September 2019 @ 11:52 PM