Gambar hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin
nurul.hidayah@hmetro.com.my


EMPAT individu yang dipercayai terbabit dalam penyebaran status berkaitan isu agama dan perkauman ditahan polis dalam beberapa serbuan berasingan di sekitar Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Datuk Huzir Mohamed berkata, serbuan itu dilakukan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) (D5) JSJ Bukit Aman selepas menjalankan siasatan bersabit isu agama dan perkauman sejak Jun lalu.

“Tangkapan pertama dibuat terhadap seorang lelaki yang juga pemilik akaun Facebook (FB) pada 2.45 petang di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi berhubung siasatan berkaitan status menghina agama Islam dan Nabi Muhammad SAW pada 9 Julai lalu.

“Peralatan digital milik lelaki itu yang digunakan untuk memuat naik status berkenaan di FB turut dirampas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, lelaki kedua ditahan kira-kira 5 petang di Pelabuhan Klang, Selangor hasil siasatan sejak 16 Ogos lalu terhadap status menghina orang Melayu oleh akaun FB.

Katanya, beberapa peralatan digital yang dipercayai digunakan untuk memuat naik status berkenaan juga dirampas daripada lelaki itu.

Beliau berkata, tangkapan ketiga dilakukan terhadap seorang wanita pada 4.30 petang di Seremban 3, Negeri Sembilan.

“Seorang wanita pula ditahan bagi membantu siasatan berhubung status menghina Nabi Muhammad SAW di FB pada 8 September lalu.

“Pada 9 September lalu, polis melakukan siasatan berhubung satu video mengaibkan dengan niat mahu membangkitkan perpecahan keamanan yang dimuat naik di YouTube oleh seorang lelaki.

“Susulan itu, polis menahan seorang lelaki di Kelana Jaya, Selangor dan merampas beberapa peralatan digital digunakan untuk merakam dan memuat naik video berkenaan ke media sosial,” katanya.

Huzir berkata, kesemua tangkapan itu adalah hasil kerjasama polis bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) yang membantu mengesan pemilik akaun media sosial berkenaan.

Menurutnya, tiga daripada suspek berkenaan direman selama tiga hari bermula hari ini hingga 14 September.

Katanya, bagi lelaki yang terbabit dalam kes muat naik video di YouTube direman selama dua hari bermula hari ini.

"Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang status atau berkongsi perkara yang menyentuh sensitiviti agama, perkauman dan institusi diraja pada mana-mana media sosial.

"Tindakan tidak bertanggungjawab itu boleh membangkitkan perpecahan keamanan dalam kalangan rakyat dan menggugat keharmonian serta perpaduan kaum," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 September 2019 @ 11:11 PM