RAKAMAN tular mengenai kejadian kemalangan yang tular di media sosial di Batu Berendam.
Rizanizam Abdul Hamid
mrizanizam@nstp.com.my


SEORANG tukang masak dan jurujual kenderaan cedera selepas terbabit dalam pergaduhan di hadapan sebuah pasar raya di Batu Berendam, petang tadi.

Dalam kejadian jam 3.15 petang seperti tular di media sosial, tukang masak lelaki berusia 37 tahun sebelum itu dikatakan terbabit dalam kemalangan dengan dua kenderaan lain sebelum cuba melarikan diri.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Melaka, Superintendan Hasan Basri Yahya berkata, kejadian dikatakan bermula apabila tukang masak yang memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) Honda Airwave melanggar Perodua Viva dipandu wanita berusia 31 tahun bersama jurujual berusia 28 tahun.

“Kejadian berlaku di Jalan Dato Md Zin berhampiran stesen minyak dipercayai akibat masalah brek MPV berkenaan.

“Insiden ini menimbulkan kemarahan pemandu Perodua Viva sebelum bertindak mengejar MPV itu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Tambahnya, MPV dipandu tukang masak kemudian memasuki laluan bertentangan dan bergesel dengan kereta jenis Nissan Almera dipandu seorang lelaki berusia 27 tahun.

Hasan berkata, tukang masak itu terus memecut kenderaanya sehingga tiba di hadapan sebuah pasar raya di Batu Berendam sebelum berjaya dihalang pemandu Perodua Viva hingga menyebabkan berlaku satu lagi pelanggaran.

“Penumpang Perodua Viva kemudian keluar dari kereta dan cuba mengambil kunci MPV ini menyebabkan berlaku pergaduhan antara kedua-dua mereka.

“Kejadian dilihat oleh orang ramai yang kemudiannya menghubungi Balai Polis Batu Berendam untuk tindakan lanjut,” tambahnya.

Hasan berkata, pergaduhan mengakibatkan tukang masak cedera di dada manakala penumpang lelaki luka di pergelangan tangan.

“Semua kenderaan dan suspek dibawa ke Balai Polis Batu Berendam untuk tindakan lanjut.

“Sampel darah pemandu MPV dan Perodua Viva turut diambil untuk ujian kimia,” katanya.

Katanya, kedua-dua kenderaan ditahan dan akan dihantar ke PUSPAKOM untuk pemeriksaan.

“Polis masih melakukan siasatan bagi mengetahui punca kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1)(A)/45 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 September 2019 @ 10:49 PM