ANGGOTA polis mengusung mayat Nor Hidayah yang dipercayai mati dibunuh di rumah sewanya di Pangsapuri Rampai Idaman, Prima Damansara, Petaling Jaya, malam tadi. FOTO Aswadi Alias.
Nurul Hidayah Bahaudin
nurul.hidayah@hmetro.com.my


IBU tunggal yang ditemui maut dalam keadaan dibungkus dan ditutup dengan timbunan bantal di rumah sewanya di pangsapuri di Prima Damansara, Petaling Jaya, malam tadi meninggal dunia kerana lemas akibat ditutup saluran pernafasan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, hasil bedah siasat dilakukan terhadap mayat mangsa Nor Hidayah Ahmad, 30, di Hospital Sungai Buloh mendapati mangsa cedera di bahagian kepala akibat hentakan objek tumpul.

“Pemeriksaan luaran mendapati mangsa cedera di bahagian kepala akibat hentakan objek tumpul, namun tidak serius dan terdapat beberapa kesan lebam di bahagian jari kanannya.

“Bagaimanapun, punca kematian mangsa adalah lemas akibat ditutup saluran pernafasan atau ‘Asphyxiation due to smothering’,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Malam tadi, Harian Metro melaporkan mayat mangsa ditemui bapanya berusia 61 tahun ketika mahu mengunjungi anaknya itu di rumah sewanya pada 6 petang semalam.

Susulan kejadian itu, polis sedang mengesan bekas suami mangsa, Zulkifli Joned, 40, berasal dari Johol, Negeri Sembilan yang bekerja sebagai operator sebuah kilang bagi membantu siasatan.

Difahamkan mangsa sudah bercerai dengan lelaki itu sejak beberapa bulan lalu.

Berita berkaitan

'Mayat ibu tunggal dibungkus selimut [METROTV]'

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 September 2019 @ 9:20 PM