AZMI (kiri) dan Yuliana mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menerima rasuah di Mahkamah Khas Rasuah, Tawau. FOTO ABDUL RAHEMANG TAIMING
Mohd Izham Unnip Abdullah dan Abdul Rahemang Taiming
am@hmetro.com.my


DUA Pembantu Pendaftaran Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengaku tidak bersalah meminta rasuah di Mahkamah Khas Rasuah, Tawau, hari ini.

Kedua-dua tertuduh, Azmi Amir Lunji, 42, dan Yuliana Saat, 44, membuat pengakuan itu dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

Mengikut kertas pertuduhan, Azmi dan Yuliana yang bertugas di Cawangan JPN Semporna, masing-masing secara rasuah meminta daripada seorang wanita dikenali sebagai Sufiah Said satu suapan wang tunai RM2,000 pada 26 April 2017.

Perbuatan itu dilakukan sebagai dorongan untuk menerima, memproses dan meluluskan permohonan pendaftaran kad pengenalan dua anak kembar wanita itu yang memasuki usia 12 tahun.

Bagi kesalahan itu, kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Mohd Faliq Basirudin manakala Azmi dan Yuliana masing-masing diwakili peguam Ariel Christopher Dasan dan Datu Baginda Laja.

Terdahulu, pihak pendakwaan mencadangkan wang jaminan RM10,000 dengan beberapa syarat tambahan antaranya kedua-dua tertuduh perlu melaporkan diri di mana-mana pejabat SPRM terdekat dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Pendakwaan juga memohon perintah mahkamah supaya tertuduh tidak mengganggu atau mendekati saksi pendakwaan.

Hakim kemudiannya menetapkan ikat jamin RM10,000 kepada kedua-dua tertuduh dengan seorang penjamin tempatan dan deposit RM5,000 dibayar kepada mahkamah, hari ini.

Selain itu, mahkamah turut memerintahkan kedua-dua tertuduh melapor diri dua bulan sekali di pejabat SPRM dan menetapkan 15 November depan untuk serahan dokumen dan sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 September 2019 @ 7:51 PM