DR Maszlee ketika sesi Townhall ‘Universiti Untuk Masyarakat’ di UiTM Puncak Alam, Shah Alam, hari ini. FOTO Saddam Yusoff.
Nur Lela Zulkipli
nurlela@hmetro.com.my


KEMENTERIAN Pendidikan memberi jaminan tiada pensyarah akan diberhentikan dalam penggabungan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, penggabungan dua universiti itu akan menjadikan pensyarah lebih dinamik dan berdaya saing melalui perkongsian idea serta hasil kajian.

“Kabinet bersetuju menubuhkan satu jawatankuasa yang akan mengkaji serta bertemu pemegang taruh. Jawatankuasa ini akan kumpul pandangan pihak berkaitan.

“Saya ingin jelaskan penggabungan UMT dan UniSZA tidak akan membabitkan pengurangan pensyarah. Pensyarah dan profesor dua universiti ini akan bergabung serta berkongsi kepakaran masing-masing” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri sesi Townhall Menteri Pendidikan bersama siswa Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Puncak Alam di Shah Alam, hari ini.

Mengulas lanjut, Maszlee berkata, Kementerian Pendidikan terpaksa membuat keputusan menggabungkan UMT dan UniSZA selepas mendapati dua universiti itu tidak mempunyai pelan strategik jelas.

Beliau berkata, sebelum ini UMT dan UniSZA tiada pelan strategik dan pencapaian dua universiti ini tidak melayakkannya menjadi universiti bertaraf antarabangsa.

“Saya akan pastikan penggabungan ini akan melonjakkannya sebagai pusat rujukan antarabangsa dalam bidang maritim serta bidang berkaitan dalam tempoh lima tahun,” katanya.

Berhubung bantahan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UMT dan UniSZA, beliau berkata, penggabungan dua universiti itu akan turut memberi manfaat kepada mahasiswa.

Menurutnya, perkara sama sudah dilaksanakan universiti dan kolej di beberapa negara termasuk University of Manchester dan University of Manchester Institute of Science & Technology (UMIST) di United Kingdom.

“Penggabungan institusi berlaku di Australia dan Amerika Syarikat. Ia mampu melonjakkan universiti ke tahap lebih baik,” katanya.

Pada 4 September lalu, Jemaah Menteri bersetuju secara prinsip dengan cadangan penggabungan UMT dan UniSZA.

Pejabat Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan menerusi kenyataan, berkata penggabungan itu dilihat sebagai satu daripada transformasi penyampaian pendidikan tinggi.

Berikutan cadangan itu, lebih 20,000 penuntut UMT dan UniSZA tidak bersetuju dan membantah cadangan penggabungan dua universiti itu.

MPP dua universiti itu, berkata, penggabungan UMT dan UniSZA bukan saja akan menghilangkan identiti institusi pengajian tinggi itu, malah latar belakang pengajian universiti jauh berbeza.

Berita berkaitan

'MPP UMT, UniSZA tolak cadangan penggabungan'

'UMT dan UniSZA bakal bergabung'

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 September 2019 @ 7:47 PM