Gambar hiasan
BERNAMA

LELAKI terselamat daripada tali gantung selepas Mahkamah Rayuan di Putrajaya hari ini menggantikan pertuduhan membunuh kepada menyebabkan bunuh tanpa niat kekasihnya yang mayatnya ditemui disumbat dalam beg pakaian.

Bagaimanapun, Poon Wai Hong, 29, dijatuhi hukuman penjara 22 tahun bermula dari tarikh ditangkap pada 22 Oktober 2013 kerana menyebabkan kematian Ng Yuk Tim, 15, yang juga seorang peminat cosplay (pakaian kostum).

Dia disabitkan kerana menyebabkan kematian kekasihnya itu di sebuah rumah di Kampung Cempaka di Kelana Jaya antara 3 hingga 4 petang pada 21 Oktober 2013.

Hakim Datuk Kamardin Hashim, yang mempengerusikan panel tiga hakim berkata, mahkamah mendapati bahawa rayuan Poon mempunyai merit dan menambah sabitannya kerana membunuh adalah tidak selamat.

Beliau kemudian mengetepikan sabitan dan hukuman mati ke atas Poon kerana membunuh dan menggantikannya dengan perintah di mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan.

Hakim Kamardin yang bersidang bersama Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah dengan sebulat suara membenarkan rayuan Poon untuk pertuduhan kerana membunuh digantikan dengan pertuduhan menyebabkan kematian tanpa niat.

Pada April tahun lalu, Poon disabitkan oleh Mahkamah Tinggi dengan menjatuhi hukuman mati terhadapnya.

Semasa merayu bagi meringankan hukuman, Rajpal Singh yang mewakili tertuduh memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya menyesali perbuatannya dan meminta maaf kepada keluarga si mati.

Timbalan Pendakwa Raya Nurshafini Mustafha pula berhujah bahawa bukti mengikut keadaan menunjukkan Poon membunuh gadis itu.

Nurshafini kemudiannya memberitahu media bahawa pihak pendakwaan akan memfailkan rayuan kepada Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 September 2019 @ 7:09 PM