GAMBAR hiasan.
Mohd Azam Shah Yaacob
mohdazam@mediaprima.com.my


POLIS sedang mengesan lapan lagi MyKad palsu yang dipercayai dijual ejen sindiket kepada warga asing yang ingin mendapatkan taraf kewarganegaraan negara ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, siasatan bagi mengenal pasti warga asing memiliki MyKad palsu berkenaan masih dijalankan secara terperinci termasuk bagi mengesan lokasi mereka.

“Buat masa ini, berdasarkan siasatan dijalankan polis percaya masih ada lapan lagi MyKad palsu dijual kepada warga asing.

“Bagaimanapun, kami tidak pasti sama ada pemilik MyKad berkenaan berada di negara ini atau sebaliknya dan usaha mengesan mereka sedang dilakukan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, ejen sindiket berkenaan berurusan secara terus dengan individu berkhidmat di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Pulau Pinang bukan sahaja bagi mendapatkan MyKad palsu, sebaliknya urusan sijil kelahiran.

Katanya, sindiket itu dipercayai sudah memperoleh bayaran sekitar RM600,000 daripada warga asing yang ingin mendapatkan dokumen terbabit.

Semalam, Harian Metro melaporkan bahawa polis menahan seramai 20 individu berusia 32 hingga 70 tahun termasuk Penolong Pengarah JPN Pulau Pinang.

Penahanan suspek itu susulan pengakuan seorang wanita warga China yang gagal dalam sesi temu bual berikutan tidak boleh berbahasa Malaysia bagi mendapatkan pasport.

Wanita warga asing itu kemudian mengaku membeli MyKad berkenaan daripada sindiket sebelum polis berjaya menahan seorang lagi lelaki warga China di Lapangan Terbang Bayan Lepas, Pulau Pinang pada 9 Ogos lalu.

Turut dijumpai bersama lelaki itu adalah beberapa dokumen pengenalan diri, sijil lahir, kad pengenalan, pasport Malaysia dan beberapa pasport asing palsu.

Berita berkaitan

'Jual MyKad: JPN lakukan siasatan dalaman'

'Jual MyKad: Enam didakwa [METROTV]'

'Senyuman bongkar rahsia'

'20 individu ditahan kes jual MyKad'

'Pegawai kerajaan jual MyKad'

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 September 2019 @ 6:56 PM