NOTIS penutupan sekolah berikutan masalah jerebu. FOTO Faiz Anuar
Nur Lela Zulkipli
Nurlela@hmetro.com.my


TIGA sekolah di kawasan Johan Setia, Klang, diarah tutup serta merta bermula hari ini berikutan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kawasan itu mencapai paras sangat tidak sihat iaitu 209.

Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPS) dalam satu kenyataan memaklumkan sekolah yang terbabit adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Johan Setia, SK Jalan Kebun dan Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Kebun.

Menurut JPS, mana-mana sekolah di negeri ini yang mencatat bacaan IPU melebihi 200, pihak pentadbiran perlu menutup institusi itu serta-merta sehingga keadaan kembali pulih mengikut Surat Siaran Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) Bilangan 1/2019.

“Penutupan sekolah tidak menjejaskan pelaksanaan semua jenis peperiksaan termasuk peperiksaan awam dan akan diteruskan seperti dijadualkan.

“Semua sekolah terbabit diingatkan supaya merujuk kepada surat siaran KPM berkaitan perkara ini dan mengambil tindakan selaras dengan kenyataan dalam surat berkenaan,” kata kenyataan itu.

Menurut laman web Jabatan Alam Sekitar setakat 10 pagi, bacaan IPU di Johan Setia adalah 213, Shah Alam (131), Klang (134), Banting (120), Petaling Jaya (123) dan Kuala Selangor (139).

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategori sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 ke 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (bahaya).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 September 2019 @ 5:27 PM