KENDERAAN peniaga berlanggar dengan kenderaan MBPP menyebabkan barangan jualan bertaburan di atas jalan raya.
Nur Izzati Mohamad
am@hmetro.com.my


POLIS membuka tiga kertas siasatan berkaitan insiden kekecohan antara penguat kuasa Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dengan peniaga kenderaan saji (food truck) di Padang Kota di Georgetown kelmarin.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk T Narenasagaran berkata, pihaknya sudah mengenal pasti mereka yang terbabit dalam insiden terbabit.

Menurutnya, kedua-dua pihak juga sudah tampil membuat laporan untuk siasatan selanjutnya.

“Dalam kes ini, kita membuka tiga kertas siasatan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan (halang penjawat awam), Seksyen 427 Kanun Keseksaan (melakukan khianat dan menyebabkan kerosakan) dan Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987 (memandu dengan tidak cermat dan tidak bertimbang rasa).

“Polis akan menyiasat insiden ini daripada pelbagai sudut,” katanya kepada media selepas diminta mengulas mengenai insiden terbabit ketika ditemui di majlis Pelancaran E-basikal dan Penugasan Strategik Polis Pelancong di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) hari ini.


BAYAN LEPAS 12 SEPTEMBER 2019. Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk T. Narenasagaran (dua dari kanan) menaiki basikal elektrik (E-Basikal) sebagai gimik Pelancaran E-Basikal dan Penugasan Strategik Polis Pelancong di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang. STR/SHAHNAZ FAZLIE SHAHRIZAL

Sebelum ini tular tiga video mengenai insiden itu masing-masing berdurasi antara 17 hingga 49 saat.

Video pertama memaparkan cermin kenderaan saji (food truck) milik peniaga dipercayai dipecahkan pihak MBPP dan video kedua menunjukkan kenderaan peniaga berlanggar dengan kenderaan MBPP menyebabkan barangan jualan bertaburan di atas jalan raya.

Rakaman video ketiga pula memaparkan kenderaan MBPP menghalang kenderaan saji peniaga.

Sementara itu, Narenasagaran berkata, beliau berharap lebih banyak penaja dapat menyumbang basikal elektrik untuk membolehkan polis memperluaskan tugas di tempat tumpuan pelancong.

“Setakat ini, terdapat 16 basikal elektrik yang ditaja untuk kegunaan polis bagi memantau persekitaran lapangan terbang dan bersedia memberikan khidmat bantuan kepada mereka yang memerlukan.

“Polis berharap ia dapat diperkembang ke tempat pelancongan popular lain,” katanya.

Berita berkaitan

Masing-masing dah buat laporan polis

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 September 2019 @ 5:20 PM