MAHMUD bersama anaknya, Mahnas Hibatullah Syazana berusia empat tahun tidak sabar menunggu kepulangan Habibuneesa ke Malaysia. FOTO Rosman Shamsudin
Rosman Shamsudin
am@hmetro.com.my


ISTERI tukang paip yang dilaporkan hilang dan dipercayai diculik di India sejak 29 Jun lalu ditemui selamat di negara berkenaan semalam dan kini dalam proses dibawa pulang ke Malaysia.

Difahamkan, Habibuneesa Mohamed Ismail, 36, dibebaskan oleh seorang lelaki tempatan negara berkenaan yang dipercayai menculiknya dan gagal mendapatkan wang tebusan sebanyak RM10,000 daripada keluarga wanita terbabit.

Sebaik dibebaskan, Habibuneesa ke Pejabat Konsul Malaysia di Chennai untuk mendapatkan bantuan sebelum memberi keterangan dan disoal siasat selama lima jam oleh polis di India.

Presiden Penaja Parti Rakyat India Malaysia (PRIM), Dr S Santharasekaran berkata, pihaknya dihubungi Habibuneesa semalam menyatakan sudah dibebaskan oleh lelaki yang menahan dan mengurungnya.

Katanya, Habibuneesa memaklumkan kini tinggal di asrama perempuan sementara menunggu siasatan polis India berhubung kesnya, selesai.

“Walaupun Wisma Putra memaklumkan proses membuat pasport sementara hanya memakan satu hari sahaja tetapi pihak berkuasa di India menetapkan selama dua minggu .

“Kalau hendak cepat, suaminya, Mahmud Rahman Shariff, 47, perlu ke India dan bawa pasport isterinya itu tetapi kita sedia maklum Mahmud hanya tukang paip maka sudah tentu tidak mampu ke sana,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, dia sedang berusaha mencari sumber kewangan untuk bawa Mahmud ke India agar proses membawa pulang isterinya dapat dipercepatkan.

Dr Santharasekaran yang selama ini menjadi orang tengah dalam usaha membantu mencari Habibuneesa, mengucapkan terima kasih kepada semua pihak di Malaysia dan India yang bekerjasama hingga wanita terbabit ditemui selamat.

Sementara itu, Mahmud Rahman ketika dihubungi berkata dia bersyukur apabila mendapat berita isterinya kini selamat dan menunggu masa pulang ke pangkuan keluarga.

“Saya bersyukur kepada Tuhan dengan berkat doa kami sekeluarga dan rakyat Malaysia maka isteri saya selamat dibebaskan dan kini menunggu masa untuk pulang.

“Terima kasih kepada pihak kerajaan Malaysia dan India serta badan bukan kerajaan (NGO) yang membantu mencari isteri saya sepanjang dilaporkan hilang sejak 29 Jun lalu,” katanya di Behrang.

Harian Metro pada 3 Julai lalu melaporkan seorang tukang paip tidak menyangka tindakan membenarkan isterinya pulang melawat keluarga di India selama seminggu bertukar tragedi apabila isterinya dilaporkan hilang dikhuatiri menjadi mangsa culik di negara berkenaan.

Habibuneesa berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bersama kakaknya, Nur Jihan, serta anak kakaknya berusia empat tahun ke India pada 24 Jun lalu untuk melawat saudara di Pandaravadai, Panapasam, Tamil Nadu sebelum disedari hilang kira-kira jam 3 pagi waktu tempatan 29 Jun lalu.

Bimbang dengan keselamatan isterinya, Mahmud Rahman membuat laporan polis mengenai kehilangan isterinya di Balai Polis Behrang pada 1 Julai lalu dan berjumpa dengan Dr Santhasekaran yang kemudian membawanya ke Wisma Putra di Putrajaya untuk meminta kerajaan Malaysia menghubungi kerajaan India bagi membantu mencari Habibuneesa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 September 2019 @ 11:22 AM