KEADAAN di sekitar Ampang pada 10 pagi hari ini. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Mahaizura Abd Malik
mahaizura@hmetro.com.my


KUALITI udara di stesen Johan Setia Klang semakin teruk apabila bacaan indeks pencemaran udara (IPU) meningkat kepada 213, berbanding 201 petang semalam.

Setakat 9 pagi tadi, data dipaparkan Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) tidak banyak berubah apabila 16 lagi kawasan direkodkan tidak sihat.

Selain Johan Setia Klang yang menunjukkan bacaan IPU sangat tidak sihat, lima lagi stesen Selangor terjejas ialah Kuala Selangor (140), Petaling Jaya (126), Shah Alam (133), Klang (136) dan Banting (124).

Di Kuala Lumpur, dua kawasan tidak sihat adalah Batu Muda dan Cheras dengan bacaan IPU masing-masing 144 dan 127, manakala Putrajaya (128).

Turut terjejas, Nilai dengan rekod bacaan IPU 127, Tangkak (110), Jerantut (115) dan Sarawak satu stesen di Sri Aman (160).

Selain itu, kualiti udara juga tidak sihat di dua stesen Perak ialah Tasek Ipoh (103) dan Seri Manjung (140), manakala dua lagi stesen di Pulau Pinang di Balik Pulau (128) dan Minden (103).

Data keseluruhan menunjukkan kualiti udara di 52 lagi kawasan lain berada dalam keadaan tahap sederhana.

Untuk rekod, bacaan IPU 0-50 menunjukkan kualiti udara sihat; 51-100 (sederhana), 101-200 (tidak sihat), 201-300 (sangat tidak sihat) dan melebihi 300 pula tahap berbahaya.

Orang ramai boleh merujuk laman web Jabatan Alam Sekitar (JAS) di alamat http://apims.doe.gov.my/v2/ atau dengan memuat turun aplikasi telefon pintar, MyIPU di ‘Google Play’ bagi mendapatkan bacaan IPU terkini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 September 2019 @ 10:48 AM