KEADAAN kereta terbabit kemalangan. FOTO Arkib NSTP
Adnan Ibrahim
am@hmetro.com.my


AKIBAT memotong sebuah kereta di garisan berkembar, lelaki maut selepas motosikal ditunggang bertembung lori di Kilometer 12, Jalan Kluang-Teck Wah Hing di Kluang, semalam.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, kejadian 5.10 petang semalam mengakibatkan Mohammad Suhail Sahimi, 23, meninggal dunia di tempat kejadian.

“Siasatan awal mendapati mangsa yang datang dari arah Kluang ke Simpang Renggam secara tiba-tiba memotong sebuah kereta di hadapannya walaupun di atas garisan berkembar dan tidak nampak kenderaan yang datang dari arah bertentangan.

“Akibatnya, sebuah lori yang secara kebetulan datang dari arah bertentangan tidak sempat memberhentikan serta mengelak mangsa menyebabkan berlakunya pertembungan,” katanya, hari ini.

Menurut Mohd Abduh, akibat pertembungan itu, mangsa tercampak beberapa meter ke belakang menyebabkannya parah.

Dia kemudian disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan yang tiba tidak lama kemudian.

Katanya, mangsa dirujuk ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) untuk bedah siasat.

“Proses bedah siasat dijalankan kira-kira 8 malam tadi sebelum diserahkan kepada pihak keluarga untuk urusan pengebumian.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Orang ramai yang menyaksikan kejadian diharapkan dapat menyalurkan maklumat untuk membantu siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 September 2019 @ 9:10 AM