NORAZLAN (tengah) bersama Yahaya (empat dari kiri) menunjukkan simbolik tangan tolak rasuah selepas merasmikan majlis ikrar bebas rasuah Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor di Ibu Pejabat Bomba Johor.
Mary Victoria Dass
maryvictoria@hmetro.com.my


BERHEMPAS pulas memadamkan kebakaran di tiga titik panas yang turut menyumbang kepada jerebu di Johor.

Itu antara usaha dilakukan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor bagi membendung kebakaran besar di Muar, Pontian dan Gelang Patah.

Pengarah JBPM negeri, Datuk Yahaya Madis berkata, ketiga-tiga lokasi membabitkan kebakaran dan pemadaman masih dilaksanakan.

Beliau berkata, kebakaran di Muar membabitkan kawasan seluas 20 hektar dengan 60 peratus sudah dipadam, manakala di Pontian membabitkan kawasan seluas 12 hektar dan 70 peratus sudah dipadam.

Menurutnya, kebakaran di Gelang Patah hampir dipadam keseluruhannya dan ia ditangani Balai Bomba dan Penyelamat Iskandar Puteri.

Katanya, di Pontian, gerakan diambil alih Jawatankuasa Hutan Bencana daerah Pontian diketuai pegawai daerah membabitkan kawasan ladang dan persendirian.

“Operasi pemadaman kebakaran di Pontian dilakukan secara bersepadu.

“Bagi keseluruhan operasi pemadaman kebakaran di hot spot mahupun kawasan lain, kami masih gunakan aset dalaman di Johor dan dibantu pelbagai agensi berkaitan.

“Sehingga kini kami tidak memohon bantuan aset daripada peringkat pusat,” katanya pada sidang media sempena Taklimat Integriti dan Ikrar Bebas Rasuah di Ibu Pejabat JBPM Johor di sini, semalam.

Hadir sama, Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor, Datuk Norazlan Razali.

Yahaya berkata, berikutan kebanyakan kawasan di negeri ini tidak menerima hujan sejak dua minggu, pembakaran secara terbuka sukar dikawal.

“Kini bukan waktu sesuai membuat pembersihan dengan cara pembakaran kerana pembakaran kecil boleh menjadi pembakaran besar dan boleh mengakibatkan jerebu dan masalah lain.

“Bomba terpaksa menangani kebakaran berpunca daripada perbuatan yang tidak sepatutnya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 September 2019 @ 6:20 AM