Tun Dr Mahathir bersama Tun Dr Siti Hasmah serta Pengerusi Binary University Tan Sri Prof Joseph Adaikalam memotong kek pada majlis makan malam sambutan 35 tahun universiti itu di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Mohd Husni Mohd Noor
mhusni@hmetro.com.my


“TAKPELAH, itu dia (Indonesia) punya komen. Kita tak kata apa,” kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan dibuat Menteri Alam Sekitar dan Perhutanan Indonesia Siti Nurbaya yang mendakwa jerebu melanda Malaysia ketika ini berasal dari Sarawak.

Siti Nurbaya mendakwa kerajaannya kini gigih bekerja dengan sebaik-baiknya mengatasi isu berkenaan dan tidak semua jerebu berasal dari wilayah di Indonesia.

Malah Siti Nurbaya juga meminta kerajaan Malaysia menyampaikan fakta tepat mengenai isu jerebu berkenaan.

Menurutnya, jerebu yang menyelubungi Malaysia hingga ke Kuala Lumpur dan Semenanjung Malaysia adalah berasal dari Sarawak dan mungkin sebahagian dari Kalimantan Barat, Indonesia.

Sementara itu, Dr Mahathir berkata, Kabinet yang bermesyuarat hari ini turut membincangkan isu jerebu termasuk langkah untuk mengatasinya.

“Hari ini kita (Jemaah Menteri) ada bincang cara kurangkan jerebu,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin memaklumkan Malaysia mengulangi kebimbangannya berhubung kesan jerebu rentas sempadan yang melanda negara ini dan menawarkan bantuan kepada Indonesia untuk memadamkan kebakaran hutan di Kalimantan serta Sumatera.

Perkara itu dimaklumkan Bee Yin ketika mengadakan pertemuan dengan Menteri Penasihat Kedutaan Indonesia, Agus Badrul Jamal dan Kaunselor Penerangan dan Sosial Budaya, Agung Cahaya Sumirat hari ini.

Selain itu, Pengarah Bahagian Udara Jabatan Alam Sekitar, Mashitah Darus dalam kenyataan memaklumkan keadaan jerebu yang melanda Semenanjung Malaysia dijangka menjadi lebih serius dan akan berlanjutan beberapa hari.

Menurutnya, beberapa negeri termasuk Sarawak, Pahang dan Selangor mencatatkan IPU tidak sihat dan sangat tidak sihat.

"Tiupan angin dari Sumatera dan Kalimantan, Indonesia ke arah Semenanjung menjadi punca keadaan berjerebu semakin meningkat di beberapa kawasan di barat Semenanjung Malaysia yang mencatatkan indeks pencemaran udara (IPU) tidak sihat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 September 2019 @ 11:17 PM