Ikan patin yang dilepaskan untuk pertandingan di Taman Tasik Metropolitan Kepong Ahad ini. FOTO Ihsan DBKL
Norzamira Che Noh
am@hmetro.com.my


LEBIH satu tan ikan pelbagai jenis termasuk patin bersaiz antara empat hingga lima kilogram (kg) menunggu kaki pancing pertandingan Jelajah Pancing Kuala Lumpur di Taman Tasik Metropolitan, Kepong Ahad ini.

Pertandingan anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu diadakan sempena Sambutan Hari Malaysia 2019.

Pengarah Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan DBKL, Mohd Nazam Harun berkata, aktiviti sihat bertemakan ‘Jom Pancing, Rakyat Ceria, Komuniti Sejahtera’ sentiasa dinantikan pemancing sambil beriadah bersama keluarga.

“Pertandingan ini sudah memasuki tahun kelapan penganjuran dan diadakan bagi menekankan kepentingan perpaduan serta semangat cintakan negara demi kesejahteraan dan kemakmuran bersama.

“Kaki pancing bertuah bakal membawa pulang hadiah keseluruhan RM22,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, juara pertandingan akan membawa pulang RM6,000 diikuti RM2,000 untuk naib juara dan ketiga RM1,000.

Katanya, penganjuran kali ini lebih menarik kerana 160 ranking hadiah wang tunai disediakan untuk pemenang dan beliau menyeru kaki pancing agar tidak melepaskan peluang itu selain memeriahkan sambutan Hari Malaysia 2019.

“Pemenang keempat hingga ke-10 akan menerima RM200, pemenang tempat ke-11 hingga 80 menerima RM109 setiap seorang manakala tempat ke-110 hingga 149 menerima RM50 setiap seorang.

“DBKL turut menyediakan hadiah khas untuk pemenang ikan keli yang mana juara menerima RM300, kedua RM200, ketiga hingga ketujuh RM100 dan tempat kelapan hingga ke-10 akan menerima RM50,” katanya.

Terdahulu, beliau hadir pada acara melepaskan lebih satu tan ikan pelbagai spesies di Taman Tasik Metropolitan, Kepong di sini.

Mohd Nazam berkata, yuran RM40 dikenakan untuk sebatang joran dan sebanyak 1,000 penyertaan awal layak menerima satu botol air saiz satu liter sumbangan penaja termasuk Oyoshi (Perasa Sakura), Igloo-UFL dan Pure Fishing Malaysia Sdn Bhd.

Katanya, pendaftaran boleh dilakukan di meja urus setia di lokasi pertandingan Sabtu ini bermula 1 tengah hari hingga 9 malam dan keesokannya kaunter dibuka dari 6.30 pagi hingga 10 pagi.

“Maklumat lanjut, layari laman facebook, JORANKL atau hubungi urus setia di talian 013-266 7011 dan 012-284 6811,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 September 2019 @ 9:27 PM