Pil kuda yang menyebabkan dua sahabat ‘pengsan’. FOTO Arkib NSTP
Hanneeyzah Bariah Baharin
am@hmetro.com.my


DUA sahabat ‘tidur mati’ dalam sebuah kereta di bawah cuaca panas terik selepas mereka ‘pengsan’ kerana dipercayai terlebih dos pil kuda sehingga tidak menyedari diserbu pihak berkuasa.

Dalam kejadian 1.30 tengah hari tadi, dua rakan sekampung itu ditahan di tepi jalan besar di Kampung Tasik Tok Lebai, Kerandang, Jertih ketika tidur dalam Perodua Viva.

Mereka ditahan pegawai dan anggota Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Besut yang menjalankan Ops Cegah.

Ketua Pegawai AADK Daerah Besut, Noor Hafizza Mat Zin berkata, pihaknya yang menerima maklumat awam mengenai kegiatan penagihan pil kuda dua lelaki itu membuat serbuan ke kampung berkenaan, sebelum menemui kenderaan itu dalam keadaan mencurigakan dengan pintu terbuka di tepi jalan.

Beliau berkata, sebaik membuat pemeriksaan, pasukan itu menemui dua lelaki masing-masing berusia 16 dan 29 tahun nyenyak tidur dalam keadaan berpeluh kerana cuaca terik sehingga terpaksa dikejutkan beberapa kali.

“Sebaik tersedar, kedua-duanya dalam keadaan khayal dan dipercayai terlebih dos pil kuda sehingga tertidur dan tidak sedarkan diri.

“Ketika disoal siasat, remaja lelaki berusia 16 tahun mengaku sudah berhenti sekolah dan mula mengambil pil kuda sejak sebulan lalu kerana tekanan perasaan akibat masalah keluarga.

“Lelaki berusia 29 tahun yang berstatus duda itu pula mengaku sudah tujuh tahun terjebak dengan penagihan pil kuda kerana mahu menghilangkan tekanan hidup selepas berpisah dengan isteri,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Noor Hafizza berkata, ujian saringan air kencing mendapati kedua-duanya dari Kampung Air Tawar, Kampung Raja di sini positif Methamphetamine.

Beliau berkata, remaja itu dibawa ke lokap Balai Polis Kuala Besut manakala rakannya ditahan di lokap AADK Besut untuk tindakan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan & Pemulihan) 1983, Pindaan 1998.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 September 2019 @ 9:14 PM
Skip this ad x