Gambar lelaki yang didakwa mengganggu keluarga sedang beriadah di Dataran Bandaraya Johor Bahru dalam kejadian pada 9 September lalu Foto Ihsan Pembaca
Mohd Sabran Md Sani
sab@hmetro.com.my


MENDEKATI mangsa sebelum mengaku sebagai anaknya, itu yang dilakukan seorang lelaki berusia lingkungan 30-an ketika menghampiri seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun dalam kejadian di Dataran Bandaraya Johor Bahru, petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS) Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, kejadian berlaku ketika kanak-kanak itu beriadah bersama ibu bapanya.

Menurutnya, pengadu membuat laporan bimbang keselamatan diri dan keluarga selepas anak perempuannya berumur tiga tahun itu cuba diganggu lelaki yang tidak dikenali di kawasan terbabit.

“Pengadu membawa isteri serta anak perempuannya itu ke Dataran Bandaraya Johor Bahru bertujuan untuk beriadah.

“Ketika di dataran terbabit, lelaki yang tidak dikenali anak pengadu dan mengaku bahawa kanak-kanak itu adalah anaknya,” katanya.

Menurutnya, tindakan lelaki itu menyebabkan pengadu terus mengambil anaknya dan cuba melindunginya daripada suspek terbabit.

“Suspek kemudiannya memerhatikan keluarga pengadu dan kemudiannya beredar dengan menaiki sebuah kereta Proton Persona,” katanya.

Shahurinain berkata, usaha mengesan lelaki itu sedang dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 363/511 Kanun Keseksaan (KK) kerana melakukan penculikan dan cubaan melakukan jenayah yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda.

Kejadian itu turut tular di media sosial dan gambar seorang lelaki bertopi serta laporan polis mengenai insiden terbabit turut dikongsikan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 September 2019 @ 8:42 PM