Keadaan jerebu di Klang hari ini. FOTO Faiz Anuar
Mohamad Hussin
mohamad_hussin@hmetro.com.my


DUA kawasan di Rompin, Pahang dan Johan Setia Klang, Selangor mencatatkan indeks pencemaran udara (IPU) sangat tidak sihat masing-masing 223 dan 201 setakat 6 petang hari ini.

Data keseluruhan menunjukkan kualiti udara di 17 kawasan turut tidak sihat.

Berdasarkan maklumat dipaparkan Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), bacaan IPU tidak sihat tertinggi direkodkan di Nilai, Negeri Sembilan dan Putrajaya masing-masing 161.

Turut mencatatkan bacaan tertinggi ialah di Cheras dan Batu Muda Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur masing-masing bacaan IPU 149 dan 145.

Sementara itu, kualiti udara di Selangor juga merekodkan IPU tidak sihat iaitu Shah Alam (156), Petaling Jaya (152), Klang (148) manakala Banting dan Kuala Selangor masing-masing 137.

Bacaan IPU di Negeri Sembilan membabitkan Nilai (161), Seremban (135) dan Port Dickson (104).

Turut terjejas di Sarawak iaitu di kawasan di Sri Aman (141) dan Kuching (113).

Bacaan IPU di kawasan Melaka menunjukkan tahap sederhana iaitu di Bukit Rambai (100), Alor Gajah dan Bandaraya Melaka masing-masing 98 manakala Tangkak, Johor, 122.

Mengikut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, berasaskan laporan Metrologi Malaysia (MET) dan National Disaster Command Center (NDCC), kebakaran hutan di Sumatera dan Kalimantan, Indonesia menyebabkan jerebu merentas sempadan dan memberi kesan kepada peningkatan bacaan IPU di semua kawasan di sepanjang pantai barat Semenanjung Malaysia dan barat Sarawak.

Bacaan IPU 0-50 menunjukkan kualiti udara sihat; 51-100 (sederhana), 101-200 (tidak sihat), 201-300 (sangat tidak sihat) dan melebihi 300 pula tahap berbahaya.

Orang ramai boleh merujuk laman web Jabatan Alam Sekitar (JAS) di alamat http://apims.doe.gov.my/v2/ atau dengan memuat turun aplikasi telefon pintar, MyIPU di ‘Google Play’ bagi mendapatkan bacaan IPU terkini pada setiap jam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 September 2019 @ 7:06 PM