EMPAT daripada sembilan tong petrol yang ditemui ditanam di pesisir pantai dekat Kampung Sibahat, Lahad Datu. FOTO Ihsan PPM.
Hazsyah Abdul Rahman
am@hmetro.com.my


PASUKAN Polis Marin (PPM) menemui sembilan tong berisi petrol yang ditanam di dalam pasir di pesisir pantai di Kampung Sibahat, Lahad Datu.

Komander PPM Wilayah Empat Sabah Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, tong itu ditemui dalam operasi pada 5.30 petang semalam.

Sebelum itu katanya, Unit Risikan Marin (URM) menerima maklumat mengenai petrol bersubsidi yang disembunyikan untuk tujuan seludup ke negara jiran.

“Hasil pemeriksaan di kawasan itu berjaya menemui tujuh tong hijau dan dua tong putih ditanam di kawasan pesisir pantai berkenaan, yang mana setiap tong berisi petrol,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad Pajeri tidak menolak kemungkinan tong itu menunggu masa untuk diseludup dan pihaknya merampas untuk tindakan lanjut.

Katanya, nilai keseluruhan rampasan RM437 dan kes itu disiasat Seksyen 21 Akta Kawasan Bekalan 1961 dibaca bersama Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan.

Terdahulu, pada Sabtu lalu, PPM turut menemui 12 gelen petrol di dalam tong yang ditanam di pesisir pantai Kampung Sinakut.

Berita berkaitan

Sepandai-pandai tupai melompat..

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 September 2019 @ 4:49 PM