KEADAAN jerebu mula jelas kelihatan di Seremban. FOTO IQMAL HAQIM ROSMAN
Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my


JEREBU mula melanda Negeri Sembilan apabila tiga stesen di Seremban, Nilai dan Port Dickson mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat.

Ia berdasarkan bacaan dipaparkan Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) di laman web http://apims.doe.gov.my setakat jam 1 tengah hari, hari ini.

Nilai merekodkan bacaan IPU 151 manakala Seremban (121) dan Port Dickson (105).

Kualiti udara di negeri ini semakin buruk sejak petang semalam dengan bacaan IPU daripada paras baik kepada sederhana dan tidak sihat pagi ini.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) Isnin lalu mengeluarkan kenyataan kebakaran hutan di Sumatera dan Kalimantan, Indonesia menyebabkan jerebu merentas sempadan dan memberi kesan kepada peningkatan bacaan IPU di semua kawasan di sepanjang pantai barat Semenanjung dan barat Sarawak.

Untuk rekod, bacaan IPU antara 0 hingga 50 adalah dikategorikan paras baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 September 2019 @ 1:32 PM