KEADAAN longgokan sampah yang dibuang pihak tidak bertanggungjawab di tepi Jalan Kampung Anak Air, di sini. Gambar kecil, reaksi pengguna jalan raya yang melalui lokasi itu.
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz
azimfitri@hmetro.com.my


BAU busuk yang meloyakan serta persekitaran menjijikkan jelas kelihatan sepanjang kira-kira 300 meter di bahu jalan di Kampung Anak Air, Tanjung Lumpur di sini, apabila kawasan itu dijadikan lubuk membuang sampah.

Sikap tidak bertanggungjawab segelintir penduduk di kawasan kampung itu menyebabkan pengguna jalan terpaksa menanggung seksa dengan melihat longgokan sampah dan menghidu bau busuk.

Penduduk, Jalil Abdullah, 50, berkata, keadaan itu sudah berlarutan sejak lebih setahun lalu apabila sikap penduduk menjadikan kawasan bahu jalan sebagai tempat membuang sampah pukal dari rumah mereka.

Katanya, walaupun pihak berkuasa yang menguruskan sampah iaitu Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal Dan Pembersihan Awam (SWCorp) menyediakan lokasi spesifik bagi mereka mengumpul dan melonggokkan sampah namun bahu jalan di kampung itu tetap menjadi pilihan.

“Kadang-kadang saya lihat ada yang secara bersahaja mencampak bungkusan plastik hitam dari atas motosikal seolah-olah ia perkara biasa, walhal ada tempat disediakan SWCorp.

“Bila ada penduduk yang mempunyai mentaliti seperti ini maka kesannya dirasai semua orang,” katanya.

Bagi Fatimah Busu, 59, apa yang membimbangkannya kawasan longgokan sampah itu menjadi tumpuan haiwan liar seperti anjing, monyet dan biawak.

Katanya, kehadiran haiwan boleh dilihat orang ramai pada sebelah malam dan menimbulkan ketakutan pada mereka yang melalui jalan itu.

“Saya harap pihak berwajib dapat ambil tindakan segera membersihkan kawasan ini kerana apabila musim hujan bau sampah lebih busuk.

“Selepas dibersihkan pihak berkuasa perlu lebih tegas dengan mengenakan saman atau mengheret pelaku ke mahkamah bagi mengelakkan kejadian sama berulang,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SWCorp negeri, Sharudin Hamid berkata, bertindak atas aduan penduduk anggota dan kakitangan pembersihan pihaknya membersihkan longgokan sampah di kawasan itu, semalam.

Katanya, sampah itu dibersihkan menggunakan jengkaut dan mengambil masa kira-kira dua jam untuk diselesaikan.

“Kita ambil maklum dengan beberapa aduan yang dibuat penduduk dan saya sudah arahkan mereka ambil tindakan segera,” katanya ketika dihubungi di sini.

Beliau berkata, pihaknya akan berbincang dengan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) bagi mencari formula terbaik mengatasi permasalahan itu daripada berulang seperti mengenakan saman atau denda lebih besar.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 September 2019 @ 6:10 AM