Anggota JKDM memeriksa lori kontena yang disyaki cuba menyeludup daging ayam dari luar negara. Foto Ihsan JKDM
Mohd Roji Kawi
mdroji@bh.com.my


CUBAAN menyeludup daging ayam dari luar negara melalui Pelabuhan Senari di Kuching, digagalkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak, Jumaat lalu.

Pengarah JKDM Sarawak, Datuk Sharifah Halimah Tuanku Taha berkata, kejayaan itu hasil pemeriksaan terhadap lori kontena yang disyaki membuat pengikraran tidak benar.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan menemui 1,713 kotak berisi daging ayam yang tidak diikrar dalam borang kastam.

“Siasatan awal mengesyaki pengimport cuba mengaburi mata pihak berkuasa dengan mengikrar produk ayam sejuk beku yang diletakkan di bahagian barisan hadapan pintu kontena sahaja.

“Barang rampasan itu dianggarkan bernilai RM151,040 dengan anggaran duti kastam RM54,816.00,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Sharifah Halimah berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 133 Akta Kastam 1967 yang jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan penalti kerana membuat akuan tidak benar dan memalsukan dokumen.

“Justeru, JKDM memohon orang ramai untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan barang larangan atau kawalan tanpa permit import.

“Maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855, laman sesawang aduan awam iaitu http://aduan.customs.gov.my atau mana-mana pejabat kastam berhampiran di semua negeri dan identiti pemberi maklumat adalah dirahsiakan,* katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 September 2019 @ 1:09 PM