PESAWAT Sukhoi SU-30 MKM milik TUDM
Nur Lela Zulkipli
Nurlela@hmetro.com.my


KERAJAAN wajar mempertimbangkan cadangan pembelian jet pejuang baharu bagi menggantikan pesawat tempur Sukhoi Su-30MKM dan MIG-29N Fulcrum.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata, ini berikutan aset pertahanan milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) itu sudah usang dan perlu diganti.

“Namun, cadangan (pembelian jet pejuang) ini masih di peringkat kajian.

“Ia juga bergantung kepada rundingan seterusnya antara Malaysia dan Russia. Ia juga bergantung kepada keadaan kewangan negara,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Run For Peace 2019 di Padang Besar Taman Klang Jaya, Klang, hari ini.

Sebelum ini, Russia menawarkan mengambil semula 28 jet pejuang jenis Sukhoi Su-30MKM dan MIG-29N milik TUDM yang bermasalah jika Malaysia sedia menggantikannya dengan pesawat baharu buatan negara itu.

Tawaran itu dibuat Presiden Russia, Vladimir Putin dalam pertemuan dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, baru-baru ini.

Russia juga menawarkan alat ganti baharu dan khidmat baik pulih jika Malaysia memutuskan untuk mengekalkan pesawat lama berkenaan.

Dr Mahathir turut memberitahu Putin kerajaan akan mempertimbangkan kedua-dua tawaran Russia.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 September 2019 @ 10:55 AM