Tuanku Syed Faizuddin menitahkan MAIPs memberi peluang golongan asnaf di Perlis mempelajari seni pembuatan tengkolok. FOTO NSTP
BERNAMA

RAJA Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitahkan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) melalui Akademi Transformasi Asnaf MAIPs (ATAM) membuka peluang kepada golongan asnaf di negeri itu mempelajari seni pembuatan tengkolok.

Titah baginda kepakaran itu dapat digunakan golongan berkenaan untuk menjana pendapatan keluarga mereka.

“MAIPs menyasarkan 10 orang asnaf untuk diberikan latihan berkenaan dan masih dalam proses pencarian mereka yang berpotensi oleh ATAM dengan kerjasama beberapa jabatan dan agensi berkaitan,” titah baginda.

Baginda yang juga Yang Dipertua MAIPs bertitah demikian selepas berkenan berangkat menghadiri Program Hijrah Minda MAIPs Bilangan ke-22 bagi 2019 di Masjid Al Rahim, Kampung Titi Tok Bandar, Kangar.

Keberangkatan tiba baginda disambut Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs Mohd Nazim Mohd Noor.

Pada 4 September lalu, Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berkenan melancarkan Tengkolok “Putra Julang Darjat” yang akan mula dipakai pada adat istiadat diraja dan majlis rasmi serta separa rasmi di Perlis bagi menggantikan Tengkolok ‘Dendam Tak Sudah’.

Tengkolok berkenaan pernah dipakai oleh Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail ketika istiadat pertabalan baginda pada 1949.

Dalam pada itu, Mohd Nazim berkata, sebagai persiapan sempena sambutan ulang tahun keputeraan Tuanku Raja Perlis pada 12 Oktober ini, ATAM menyediakan perkhidmatan sewaan set tengkolok, sampin dan bengkung pada harga RM60 untuk petugas di Istana Arau dan set itu juga boleh ditempah pada harga RM350.

“Mereka yang mempunyai tengkolok dan ingin mengubah ikatan kepada Tengkolok ‘Putra Junjung Darjat’ boleh berbuat demikian dengan upah RM80,” katanya.

Mohd Nazim berkata, orang ramai yang berminat untuk membeli tengkolok berkenaan boleh membuat tempahan melalui ATAM di talian 04-9794439 atau hubungi Zamrud Utama Enterprise di talian 0173380117 pada waktu pejabat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 September 2019 @ 9:57 AM