KOPERAL Nazrin (kanan) hadir di Mahkamah Tinggi Shah Alam sebagai saksi kedua pendakwaan. FOTOSaddam Yusoff.
Sarah Zulkifli
sarah@hmetro.com.my


KESAN darah masih basah di badan Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Sdn Bhd (Cradle Fund) Nazrin Hassan ketika ditemui polis di bilik tidur utama kediamannya di Mutiara Homes, Petaling Jaya, pada 2018.

Perkara itu dimaklumkan saksi kedua pendakwaan, Koperal Nazrin Zakaria, 39, dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di Mahkamah Tinggi Shah Alam, hari ini.

Saksi itu yang bertugas sebagai jurufoto kes turut memberitahu melihat mayat Nazrin berada di bahagian penjuru katil di bilik berkenaan yang terbakar.

Katanya, ketika tiba di tempat kejadian pada 3 petang, 14 Jun 2018, dia melihat darah di sekitar dan bawah badan mayat Nazrin.

“Darah itu masih basah, namun tidak pasti sama ada ia masih mengalir atau tidak,” katanya ketika menjawab soalan balas peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pada hari pertama perbicaraan kes pembunuhan berprofil tinggi itu di hadapan Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman.

Terdahulu, tertuduh pertama, Samirah Muzaffar, 44, dan dua remaja lelaki masing-masing berusia 17 dan 14 tahun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan membunuh Nazrin ketika itu berusia 47 tahun di rumah di Mutiara Damansara, Petaling Jaya pada 13 Jun hingga 14 Jun 2018.

Saksi sama berkata, dia turut mendapati dinding bilik tidur utama kediaman dua tingkat berkenaan berwarna hitam kesan daripada kebakaran.

“Pendingin hawa bilik itu dan tilam yang ada di dalam bilik berkenaan turut terbakar. Keadaan di bilik itu terbakar sepenuhnya dan ada mayat terbaring di penjuru katil,” katanya.

Mengulas lanjut, Koperal Nazrin berkata, dia juga terlihat suatu barang yang sudah terbakar di atas badan mangsa, namun saksi itu tidak dapat memastikan apakah barang terbabit.

“Saya juga tidak nampak telefon bimbit sama ada Blackberry atau Huawei. Sama ada atas katil atau dalam bilik, saya tidak perasan,” katanya.

Ketika disoal sama ada ternampak kesan darah di sekitar dinding, Koperal Nazrin memberitahu mahkamah bahawa dia tidak nampak berikutan kesan kebakaran yang menyebabkan warna dinding berubah hitam.

Sementara itu, pada prosiding sama, saksi ketiga pendakwaan, Koperal Jumardi Mursalim, 34, memberitahu rumah mangsa pernah dipecah masuk pada 1 Oktober 2015 dengan kes itu dilaporkan sendiri oleh Nazrin.

Saksi yang juga jurufoto di JSJ IPD Petaling Jaya berkata, ketika siasatan dijalankan, dia menemui contengan gincu merah pada dinding dan selimut di bilik tidur utama itu.

Selain itu, katanya, kelihatan bilik utama rumah berselerak dan komputer riba dipatahkan serta bantal dihiris seperti menggunakan sesuatu yang tajam.

Ketika disoal Muhammad Shafee adakah saksi itu melihat perkara terbabit sebagai pelik, saksi itu menjawab ‘benar’.

Jumardi berkata demikian selepas diminta pembelaan untuk mengesahkan laporan polis yang dibuat Nazrin mengenai rumahnya dipecah masuk semasa disoal Muhammad Shafee.

Sementara itu, kekecohan berlaku di luar Mahkamah Tinggi selepas kes ditangguhkan sehingga menyebabkan ada sesetengah petugas media berbalas jeritan dengan keluarga tertuduh.

Seorang daripada tertuduh remaja dan keluarganya tidak berpuas hati apabila gambar tertuduh dirakamkan media membuat liputan dan menjerit ‘stop!’ berkali-kali.

Perbicaraan bersambung lagi 13 September ini.

Berita berkaitan

Pendakwaan akan buktikan Nazrin dibunuh [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 September 2019 @ 6:27 PM