Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@hmetro.com.my


CUBAAN dua lelaki menyamun kedai serbaneka 24 jam di Jalan Semarak Api Off, Jalan Gombak, Setapak, gagal selepas ditahan anggota Polis Bantuan Danga Bay, Johor Bahru, yang kebetulan singgah membeli makanan pada 4 September lalu.

Dalam kejadian 6.40 pagi itu, anggota polis berusia 26 tahun yang masuk ke premis itu melihat seorang lelaki di hadapan kaunter dalam keadaan mencurigakan.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Rajab Ahad Ismail berkata, dia kemudian menyergah suspek menyebabkan lelaki itu terkejut sebelum pekerja warga Bangladesh memberitahu suspek cuba menyamun.

Menurutnya, anggota polis bantuan terbabit kemudian menahan suspek dan merampas pisau yang disembunyikan di poket seluar.

“Dua rakannya pula menahan seorang lagi suspek yang sedang menunggu di motosikal di hadapan kedai terbabit sebelum mereka menghubungi polis.

“Siasatan awal mendapati suspek menggunakan sebilah pisau untuk mengugut mangsa menyerahkan rokok. Suspek berusia 22 dan 23 tahun kemudian dibawa ke Balai Polis Setapak untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 September 2019 @ 3:20 PM