Murni Wan Omar
murni@hmetro.com.my


BEKAS pegawai khas, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin menafikan wang AS$800,000 yang dimasukkan ke dalam akaun bank di bawah namanya sebagai upah kerana membantu ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam prosiding perbicaraan kes skandal 1MDB di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Terdahulu, saksi kelapan yang juga bekas pegawai khas Najib itu memberitahu mahkamah beliau ditahan reman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selama tujuh hari.

SHAFEE: Ada SPRM beritahu mereka menyiasat akaun bank anda membabitkan AS$800,000 itu?

AMHARI: Ya.

SHAFEE: Setuju dengan saya bahawa SPRM ada mengatakan ia membabitkan kesalahan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLA) 2001 dan Akta Perkhidmatan Kewangan?

AMHARI: Mereka kata mahu menyiasat.

SHAFEE: Ada mereka beritahu kenapa mereka menahan kamu?

AMHARI: Mungkin mereka ada beritahu, tetapi saya tidak ingat.

SHAFEE: Saya cadangkan bahawa siasatan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan dan AMLA itu dilakukan kerana kamu ada menerima rasuah daripada Jho Low?

AMHARI: Saya ingat Akta Perkhidmatan Kewangan.

SHAFEE: Saya cadangkan bahawa akaun bank atas nama kamu itu bukan untuk dana politik, sebaliknya adalah rekaan imaginasi kamu?

AMHARI: Tidak setuju.

SHAFEE: Setuju saya katakan bahawa duit yang kamu terima daripada Jho Low adalah ganjaran kerana membantunya?

AMHARI: Tidak setuju.

Sementara itu menjawab soalan Shafee, berhubung dakwaan tertekan dengan arahan daripada Jho Low berhubung pembukaan akaun atas namanya, Amhari tegas mendakwa lelaki itu mendapat ‘restu’ daripada Najib sendiri.

SHAFEE: Dalam keterangan, kamu ada mendakwa bahawa arwah Azlin (Ketua Setiausaha Sulit Najib, Datuk Azlin Alias) menasihatkan kamu supaya mengikut arahan Najib atau kamu akan berdepan dengan ancaman terhadap diri dan keselamatan kamu.

AMHARI: Ya.

SHAFEE: Siapa yang ancam kamu? Acu pistol kepada kamu? Jho Low atau Najib?

AMHARI: Perdana Menteri mempunyai kuasa autoriti. Apabila saya kata ancam tidak semestinya merujuk kepada nyawa, itu tahap yang teruk, ia juga merujuk kepada perjalanan hidup saya setiap hari, pekerjaan saya.

SHAFEE: Kamu dakwa Jho Low mendesak dan meyakinkan kamu berhubung pembukaan akaun bank di luar negara, kamu menganggap ia adalah arahan datang daripada Najib?

AMHARI: Jho Low dapat ‘restu’ daripada Najib.

SHAFEE: Itu yang Jho Low dakwa. Adakah kamu merasakan bahawa ancaman itu datang daripada bos kamu sendiri, yang dibuat melalui Jho Low.

AMHARI: Selepas berbincang dengan dengan Azlin, ia secara tidak langsung daripada Perdana Menteri dan Jho Low.

SHAFEE: Kamu dan Azlin sepatutnya boleh bertanya kepada Najib untuk mengesahkan berhubung Jho Low ini? Kalau kamu berbuat begitu mungkin tekanan darah akan rendah?

AMHARI: Tidak setuju.

Menjawab soalan Muhammad Shafee, saksi kelapan itu mengakui beliau merasakan hubungan Najib dan Jho Low adalah rapat.

“Saya dapat melihat sendiri Jho Low keluar dan masuk rumah Najib lebih dari orang lain.

“Selain itu, apabila dia, saya dan Azlin membuat perbincangan, Jho Low akan berkata bahawa perkara itu akan dibangkitkan esoknya. Memang betul kerana esoknya Najib akan bangkitkan isu itu kepada Azlin,” katanya.

Prosiding hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung Selasa depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 September 2019 @ 7:12 PM
AMHARI hadir bagi memberi keterangan di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di Jalan Duta, hari ini. FOTO Aswadi Alias