FOTO Hiasan
Murni Wan Omar
murni@hmetro.com.my


BEKAS pegawai khas kepada Datuk Seri Najib Razak mengakui di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur, bahawa ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho memberi pinjaman AS$200,000 bagi membantunya membeli sebuah rumah berharga RM1.85 juta pada 2010.

Datuk Amhari Efendi Nazaruddin, 43, berkata demikian ketika menjawab soalan peguam Muhammad Shafee Abdullah dalam prosiding bicara kes skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

Menurutnya, ketika itu beliau cuba mendapatkan bantuan daripada ramai pihak termasuk Jho Low dan hanya lelaki itu membantunya bagi pembelian sebuah rumah di Kota Damansara.

SHAFEE: Anda cuba mendapatkan pinjaman daripada Bank Negara Malaysia (BNM)?

AMHARI: Ya tetapi tidak dapat.

SHAFEE: Dengan institusi lain atau individu lain?

AMHARI: Ada tetapi tidak dapat.

SHAFEE: Untuk apa pinjaman itu?

AMHARI: Ia bagi menampung pinjaman untuk membeli rumah bernombor 29 di Kota Damansara, ketika itu saya sedang dalam proses menjual rumah bernombor 11 di tempat sama.

SHAFEE: Ada kamu membayar pinjaman itu?

AMHARI: Saya cuba membayarnya dengan menjual rumah nombor 11.

SHAFEE: Jho Low ada desak kamu untuk bayar?

AMHARI: Tidak, beliau kata boleh ada tempoh sebelum membuat pembayaran. Sebelum itu, saya mahu pindah milik nama rumah kepada Jho Low tetapi beliau tidak mahu.

SHAFEE: Dia seorang peminjam yang baik sebab tidak memaksa kamu membayar segera dan sebagainya.

AMHARI: Ya.

SHAFEE: Kamu tahu duit itu datang dari mana?

AMHARI: Dulu saya tidak tahu, sekarang saya sudah tahu.


Terdahulu, Amhari berkata, semua rumah, hartanah dan akaun bank miliknya tidak dibekukan sebaliknya mengakui dikenakan sekatan perjalanan yang menyebabkan beliau tidak boleh ke luar negara.


SHAFEE: Semua harta kamu tidak dibekukan?

AMHARI: Tidak

SHAFEE: Oh, kamu bernasib baik. Ada kamu dikenakan tindakan lucut hak sivil?

AMHARI: Tiada.

SHAFEE: Saya cadangkan kepada kamu bahawa keterangan yang ‘mengenakan’ anak guam saya adalah disebabkan pihak berkuasa mengancam kamu?

AMHARI: Tidak setuju.

SHAFEE: Sebagai contoh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meletakkan kamu dalam keadaan tergantung iaitu tidak didakwa tetapi dalam masa yang sama tidak dilepaskan, ia adalah untuk mengancam kedudukan kamu?

AMHARI: Saya tidak tahu.

SHAFEE: Kamu tidak rasa terancam?

AMHARI: Ancaman datang daripada banyak perkara. Apa yang saya lalui dan hadapi serta tanggung mengatasi segala-galanya. Perkataan ancaman itu sendiri tidak boleh menggambarkan keadaan sebenar yang terpaksa saya tanggung. Namun saya menafikan diancam SPRM.

SHAFEE: Saya cadangkan bahawa kamu sebenarnya ditekan oleh SPRM, oleh itu kamu merasakan perlu memberitahu perkara yang SPRM mahu dan bukan perkara sebenar?

AMHARI: Tidak setuju.

SHAFEE: Kamu ditahan dalam lokap selama tujuh hari. Ada dua jenis lokap, kamu masuk lokap yang mana? Yang ada jeriji besi atau lokap pejabat? Bagaimana layanan mereka terhadap kamu? Kamu tidur di atas katil? Adakah selesa?

AMHARI: Ada dua? Saya ingat ada satu sahaja. Mereka kata bilik yang hujung berhantu, saya bernasib baik dapat bilik di tengah. Saya dapat tidur dengan nyenyak walaupun hanya beralaskan lantai. Mereka layan saya dengan baik.

SHAFEE: Menarik sebab kamu kata hanya tepi, saya ingatkan semua bahagian berhantu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 September 2019 @ 5:59 PM