WANITA warga asing yang cuba menyorok dalam tangki. FOTO Ihsan JIM.
Aizat Sharif
mohd.aizat@hmetro.com.my


DEMI menyelamatkan diri, wanita pendatang asing tanpa izin (PATI) sanggup memanjat siling dan bersembunyi dalam tangki kosong di kilang perusahaan dekat Sungai Petani.

Tindakan nekad itu susulan serbuan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kedah sempena Ops Bersepadu yang berlangsung 14 jam bermula 9.15 malam, semalam.

Operasi itu berjaya menahan 33 PATI pelbagai warganegara termasuk wanita berkenaan.

Pengarah JIM Kedah, Zuhair Jamaludin berkata, mereka ditahan berusia antara 18 hingga 56 tahun, didapati melakukan pelbagai kesalahan seperti tiada dokumen perjalanan yang sah dan tinggal lebih masa.


SEBAHAGIAN warga asing yang ditahan. FOTO Ihsan JIM.

“Daripada jumlah ditahan, 16 orang adalah lelaki yang mana 14 orang warganegara Myanmar dan bakinya dari China.

“Sementara itu 17 warga asing wanita dengan 13 orang warganegara Myanmar dan empat daripadanya China,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Zuhair berkata, operasi itu dijalankan hasil risikan JIM Kedah selepas menerima maklumat awam mengenai kehadiran sejumlah PATI di kilang itu.

“Kesemua PATI ditahan ke lokap JIM, Bangunan Kementerian Dalam Negeri, Alor Setar untuk siasatan dan tindakan lanjut sebelum dihantar ke Depot Imigresen Belantik, Sik,” katanya yang memberitahu operasi tamat 10.50 pagi, hari ini.

PATI yang disiasat mengikut Seksyen 6 (1)(c) dan Seksyen 15 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah serta tinggal lebih masa dan Perkara 39 (b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana berkerja secara tidak sah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 September 2019 @ 3:42 PM