Kakitangan Jabatan Penjara bergotong-royong membina rumah Bakri. FOTO Ihsan Jabatan Penjara
Safuri Kamarudin
am@hmetro.com.my


EMPAT beranak yang menjadikan bekas reban ayam sebagai tempat berteduh daripada panas dan hujan sejak lapan bulan lalu kini gembira selepas mendapat rumah baru.

Bakri Md Razali, 45, dan isteri, Rahimah Tajudin, 35, serta dua anak mereka Mohd Hafiz, 17, dan Nur Syifahuda, 9, dari Kampung Badang, Mukim Bakai, Baling bersyukur selepas kesempitan hidup mereka mendapat perhatian.

Bakri berkata, selepas kisah hidup mereka disiarkan Harian Metro (HM) 22 Jun lalu, ada pihak sudi membantu membina rumah baru untuk keselesaan mereka sekeluarga.

Menurutnya, sebelum ini dia sekeluarga terpaksa berteduh di reban ayam kerana tidak ada pilihan selepas rumah sewa mereka diambil penyewanya semula.

Bakri berkata, selepas keluar dari rumah sewa mereka tiada tempat dan mengambil keputusan tinggal di reban ayam berdekatan rumah ibu mentua, Khadmah Ahmad, 63.

“Selepas keluar dari rumah sewa saya tidak ada tempat tinggal tetap dan mengambil keputusan berteduh bersama isteri dan anak direban ayam untuk sementara waktu.

“Oleh kerana dihimpit kemiskinan kami tinggal di reban itu hampir enam bulan dan tidak ada rezeki lagi untuk membina rumah lebih selesa,” katanya.

Bakri berkata, dia dikunjungi kakitangan Penjara Sungai Petani yang bersedia membantu membina sebuah rumah selepas membaca kisah hidupnya.

“Syukur saya sekeluarga dapat tinggal di rumah baru yang lebih baik dan selamat.

“Malah anak kami pun dapat mentelaah pelajaran dengan lebih selesa,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Penjara Sungai Petani, Raja Nazril Azman Raja Azam Iskandar berkata, program membantu rumah keluarga itu adalah satu Program Santunan Mahabbah Khidmat Masyarakat antara Jabatan Penjara Negeri Kedah dengan kerjasama Pejabat Parol Daerah Baling.

Beliau berkata, ia dilaksana selepas mendapat sumbangan melalui sebuah syarikat swasta, badan bukan kerajaan serta individu yang prihatin dengan kesusahannya.

“Pembinaan rumah seluas 6 x 5 meter persegi itu dilakukan secara gotong-royong sepenuhnya oleh 25 kakitangan Penjara Sungai Petani dan Pejabat Parol Daerah Baling dengan anggaran kos RM4,000.

“Kita mengambil masa empat hari menyiapkan rumah keluarga itu lengkap dengan pendawaian elektrik.

“Syukur keluarga berkenaan dapat hidup lebih selesa di rumah baru mereka,” katanya.

Berita berkaitan

Reban ayam 'mahligai' kami

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 September 2019 @ 12:57 PM