Bas mini Rapid KL
Mohamad Hussin
mohamad_hussin@hmetro.com.my


RAPID Bus Sdn Bhd (Rapid Bus) akan memperluaskan laluan bas mini di sekitar ibu kota sekiranya menerima sambutan menggalakkan.

Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus Muhammad Yazurin Sallij berkata, pihaknya masih melihat perkembangan dalam tempoh tiga bulan ini sebelum membuat sebarang keputusan.

Menurutnya, pihaknya masih dalam pelaksanaan percubaan bagi mengenal pasti jumlah sebenar kapasiti penumpang di semua laluan termasuk kawasan taman perumahan di sekitar ibu kota sejak Ahad lalu.

“Projek eksperimen penggunaan bas lapan meter ini yang boleh memuatkan 27 penumpang ini juga untuk memantapkan lagi perjalanan demi menggalakkan lebih ramai menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam.

“Rapid Bus dalam program transformasi sistem pengangkutan awam negara bagi menyediakan perkhidmatan berkelas dunia.

“Kita sedang mengumpul maklum balas daripada penumpang yang menggunakan perkhidmatan bas mini ini,” katanya di Kuala Lumpur hari ini.

Rapid KL mengadakan perkhidmatan bas mini percubaan di laluan T300 dari Bukit Indah ke Ampang Point, menerusi Jalan Rasmi bermula 1 September lalu hingga 29 November ini.

Sebelum ini, laluan T300 menggunakan dua bas 12 meter untuk laluan sepanjang 11 kilometer (km) dengan purata 800 penumpang sehari dengan jumlah 24,000 penumpang sebulan.

Muhammad Yazurin berkata, sambutan diterima setakat ini sungguh menggalakkan tetapi pihaknya masih menunggu perkembangan lanjut selepas tiga bulan beroperasi.

Pada 29 Ogos lalu, Harian Metro melaporkan selepas hampir 21 tahun dihentikan, perkhidmatan bas mini akan membuat kemunculan semula di ibu negara mulai bulan depan.

Bas mini itu boleh membawa 31 penumpang dalam setiap bas, akan beroperasi dengan kekerapan 15 minit (waktu puncak) dan 25 minit (luar waktu puncak) dari 5.30 pagi hingga 11.40 malam.

Orang ramai dialu-alukan memberi maklum balas mengenai perkhidmatan percubaan itu dengan menghubungi Rapid KL Helpline di talian 03-7885 2585 atau menghantar e-mel kepada suggest@rapidkl.com.my.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 September 2019 @ 7:04 PM