Nur Saliawati Salberi
nursaliawati@hmetro.com.my


SERAMAI 101 calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang menjalani peperiksaan di pusat lain susulan kebocoran gas ammonia, akan ditempatkan semula ke sekolah masing-masing, esok.

Mereka dari Sekolah Kebangsaan (SK) Paya Redan (20), SK Serkam Darat (75) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Serkam (6) menjawab kertas Bahasa Melayu Pemahaman dan Penulisan, hari ini di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Mahkota, Merlimau dan SK Paya Dalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Superintendan Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, penempatan semula pusat peperiksaan asal selepas kawasan disahkan selamat.

Tegasnya, tiada juga sekolah yang ditutup sepanjang tempoh kebocoran gas itu.

“Bagaimanapun, ada beberapa murid yang diberikan cuti rehat. Guru juga datang ke sekolah seperti biasa,” katanya pada sidang media di pusat kawalan operasi di Jasin, hari ini.

Hadir sama, EXCO Kesihatan dan Antidadah Melaka Low Chee Leong; Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Melaka, Zulkifli Nordin; Ketua Polis Daerah Jasin Deputi Superintendan Arshad Abu dan Pegawai Daerah Jasin Datuk Anis Ali Hasan.

Sementara itu, Raiz Mukhliz berkata, dua pusat pemindahan sementara (PPS) di SMK Dang Anum di Jasin dan SMK Ayer Molek, Melaka Tengah yang dibuka pada 9.45 malam semalam sudah diarah tutup pada 7 pagi ini.

Kejadian itu menyebabkan, seramai 33 mangsa atau pekerja dikejarkan ke hospital selepas mengalami muntah, sakit mata dan sesak nafas namun setakat ini, hanya 16 mangsa yang masih mendapatkan rawatan iaitu 12 orang di Hospital Melaka dan empat lagi di Hospital Jasin.

Berita berkaitan

Kebocoran gas ammonia: Calon UPSR dipindahkan

[UPDATE] Kilang henti operasi sementara

[UPDATE] Kilang henti operasi sementara

Sesak nafas terhidu gas bocor [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 September 2019 @ 5:32 PM
SEBAHAGIAN murid SK Serkam Darat termasuk SJKT Ladang Serkam menduduki UPSR di Dewan SMK Seri Mahkota, Merlimau, pagi ini. FOTO Rasul Azli Samad.