PPM merampas rokok seludup dalam serbuan di sebuah rumah teres dua tingkat yang dijadikan stor penyimpanan. FOTO Ihsan PPM
Nur Lela Zulkipli
nurlela@hmetro.com.my


EMPAT penyeludup rokok terkedu apabila rumah teres dua tingkat yang menjadi stor simpanan mereka diserbu Pasukan Polis Marin (PPM) di Taman Sentosa, Klang semalam.

Serbuan dilakukan PPM Pelabuhan Klang pada 10.20 pagi ketika semua lelaki berusia 22 hingga 24 tahun asyik menyusun kotak di dalam rumah itu.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 1, Asisten Komisioner Rosman Ismail berkata, bekalan rokok seludup berkenaan dipercayai baharu saja tiba di rumah itu yang dijadikan stor penyimpanan sejak tiga bulan lalu.

Katanya, siasatan awal mendapati rumah teres itu disewa RM1,000 sebulan.

“Hasil pemeriksaan lanjut menemui 1,423 karton rokok putih dan kretek dianggarkan bernilai RM198,135 termasuk cukai.

“Antara jenama rokok seludup yang dirampas termasuk Gudang Garam, Canyon, Pine dan John D Blend,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Turut dirampas lima telefon bimbit dipercayai milik suspek.

Rosman berkata, pihaknya mendapati sindiket penyeludupan rokok kini menjalankan modus operandi dengan menjadikan kawasan taman perumahan sebagai stor penyimpanan mereka.

Semua suspek kini ditahan di Markas Operasi PPM Pelabuhan Klang untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 September 2019 @ 4:56 PM