IRFAN Wafiy bersama calon UPSR 2019 mendengar taklimat sebelum memasuki dewan peperiksaan di SK Taman Dahlia, Pasir Gudang. FOTO Mohd Sabran Md Sani
Mohd Sabran Md Sani
sab@hmetro.com.my


“HUJAN ini sebagai rahmat Allah,” kata Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Dahlia, Pasir Gudang, Mohd Senin Kassim berhubung keadaan hujan ketika 188 calon sekolah itu menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), pagi tadi.

Mohd Senin berkata, dia sudah tanamkan dalam diri untuk tidak menyebut perkataan ‘pencemaran’ kepada murid sekolahnya termasuk Irfan Wafiy Idham Wazir, 12, yang juga pesakit Myokymia.

“Saya dah lama tidak bercerita pasal (mengenai) pencemaran pada murid-murid dan saya tidak mahu fikir langsung.

“Saya juga mengingatkan wartawan yang ingin membuat liputan tidak bertanya mengenai perkara itu kerana murid-murid sudah lama tidak mendengarnya,” katanya ketika ditemui di SK Taman Bukit Dahlia.

Menurutnya, dia bersyukur formula tidak menyebut isu berkaitan pencemaran memberi kesan positif.

“Saya nak mereka bersedia dengan peperiksaan. Jadi, Alhamdulillah, awak (wartawan) nampak mereka sudah bersedia untuk bertempur,” katanya.

Terdahulu, Mohd Senin yang mesra dengan panggilan ‘ayahanda’ memberi motivasi kepada 188 calon UPSR supaya menjawab soalan dengan tenang.

“Ayahanda ingin berpesan, tenangkan hati, masuk ke kelas seperti pahlawan yang sudah bersedia, peperiksaan bukan musuh tapi masa depan kita,” katanya memberikan kata-kata semangat.

Terdahulu, peperiksaan UPSR di semua sekolah kebangsaan (SK) berjalan seperti biasa tanpa sebarang gangguan pencemaran seperti pernah dilalui sebelum ini.

Biarpun hujan lebat ketika peperiksaan bermula namun semangat tinggi ditunjukkan murid, guru dan ibu bapa tidak menghalang misi mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan itu.

Bahkan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) sudah memiliki pelan kecemasan bagi menghadapi situasi tidak diduga.

Ini termasuk mengawasi 12 sekolah hotspot terdedah pencemaran termasuk SK Taman Pasir Putih, Taman Scientax dan Tanjung Puteri Resort serta meletakkan calon di kelas paling bawah.

Malah pesakit Myokymia turut diletakkan di kelas berhawa dingin bersama ketua pengawas, selain sebuah bilik kesihatan dibuka sebagai persediaan menghadapi kes berulang.

Tinjauan turut mendapati ibu bapa menunggu anak-anak, selain ada yang mengambil peluang tunaikan solat sunat dan membaca Yassin.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 September 2019 @ 3:58 PM